Tuesday, May 12, 2015
Tidak Wujud “Team A” Atau “Team B” Dalam Kepimpinan Najib – Ahmad Maslan
12 Mei 2015, Kuala Lumpur : Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan
berkata cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang ghairah untuk
memecah-belahkan perpaduan dan solidariti kepimpinan UMNO bolehlah
disifatkan sebagai sia-sia.
Ini kerana jelasnya, tidak wujud sama sekali ‘Team A’ atau ‘Team B’ di dalam kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“Saya
sebagai Ketua Penerangan UMNO berani untuk mengesahkannya 100 peratus.
Semua pemimpin sedia ada memberikan sokongan sepenuhnya kepada
kepimpinan Datuk Seri Najib. Inilah kekuatan beliau,” ujarnya kepada
UMNO-Online selepas merasmikan majlis pelancaran dan penyerahan bantuan
biasiswa pendidikan Srikandi Malaysia di Menara Dato’ Onn hari ini.
Tambah beliau lagi, semua pemimpin UMNO tetap kukuh dan utuh di
belakang Datuk Seri Najib dan kerana itulah apa juga kocakan yang
berlaku di bawah, ianya tidak berkesan sama sekali.
“Kita sedar, terlalu banyak perkara negatif sekarang ini yang cuba
mengganggu-gugat keutuhan UMNO tetapi mereka tidak akan berjaya.
Kelebihan UMNO adalah semua pemimpin dan ahlinya sentiasa bersatu.
“Sambutan Hari UMNO ke-69 semalam adalah bukti jelas yang menunjukkan
bahawa kita UMNO bersatu. Semua pemimpin hadir memberi sokongan
(kecuali Datuk Seri Shafie Apdal kerana menunaikan umrah).
“Mesyuarat majlis tertinggi semalam juga telah menyatakan persetujuan
untuk terus bersama memberi sokongan yang padu kepada pimpinan Presiden
dan Timbalan Presiden. Kami akan terus bersatu dalam satu pasukan
menangani segala cabaran dan mengambil tindakan yang positif untuk
mengukuhkan lagi kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di sisi
rakyat,” ujarnya lagi.
Oleh itu jelasnya, mereka yang tidak bertanggungjawab ingin melihat
UMNO lemah bolehlah melupakan niat tersebut kerana sekuat manapun mereka
berusaha untuk menjatuhkan UMNO, ianya tidak akan berjaya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment