Monday, July 27, 2015
Dewan Ulama Pas Sokong Haron Din... Jika Berpisah Dengan PKR
KUALA LUMPUR : Dewan Ulama Pas menyokong pendirian tegas
Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din bahawa Pas bersedia berpisah dengan
PKR jika sekutunya itu menyertai pakatan pembangkang baharu bersama DAP
dan Gerakan Harapan Baharu (GHB).
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, pendirian
tegas itu bertepatan dalam isu yang melibatkan hubungan antara
parti-parti pembangkang.
“Kalau itu apa yang dikatakan oleh ketua saya (Haron), maka kami patuh,
pendirian tegas itu bertepatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari
ini.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan baru-baru
ini membayangkan tentang penubuhan pakatan pembangkang baharu yang
merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih, Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan GHB.
Semalam, Haron berkata, pendirian PKR tentang penubuhan pakatan
pembangkang baharu itu menggambarkan seolah-olah parti itu ingin
memutuskan hubungan dengan Pas.
Sementara itu, dalam satu kenyataan melalui laman Facebook Dewan Ulama
Pas, Mahfodz berkata, beliau terkilan kerana masih ada suara dalam
kalangan ahli Pas yang mempertikaikan kepemimpinan baharu Pas tanpa
berdasarkan asas dan alasan yang kukuh.
Beliau memberitahu, kejayaan Pas untuk kekal kukuh walaupun terpaksa
berdepan pelbagai ujian dan rintangan sejak penubuhannya pada tahun 1951
adalah berikutan matlamatnya bagi mewujudkan masyarakat yang
mengamalkan segala ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
Menurut Mahfodz, perjuangan Pas adalah untuk menegakkan agama Islam bagi
mencari keredaan Allah dan berbeza dengan perjuangan pihak lain yang
berasaskan ideologi-ideologi berteraskan akal ciptaan manusia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment