Sunday, July 26, 2015
PAKATAN : Haron Din Sahkan PAS Telah Bersedia!!!
Pas bersedia meninggalkan PKR sekiranya sekutunya itu menyertai pakatan
pembangkang baharu bersama DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB), kata
Datuk Dr. Haron Din.
Mursyidul Am Pas itu berkata, pendirian PKR tentang penubuhan pakatan
pembangkang baharu seperti yang diumumkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan
dengan Pas.
Jelasnya, sekiranya penubuhan pakatan pembangkang baharu itu menjadi kenyataan, Pas tidak akan membantah tindakan tersebut.
“Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua
parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya
pakatan pembangkang.
“Kalau mereka hendak menubuhkan parti baharu, saya ucapkan selamat maju
jaya,” katanya seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia pada Ahad.
Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini membayangkan tentang penubuhan
pakatan baharu yang merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)
dan GHB.
Mengulas lanjut, Haron menambah, pakatan pembangkang sebenarnya mulai
retak sebaik sahaja DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dan langkah serupa diikuti oleh DAP Sarawak.
“Penting untuk saya sebut perkara ini kerana akhir-akhir ini orang kata
Pas yang menjadi punca terburainya pakatan pembangkang,” jelasnya.
Beliau juga yakin Pas akan tetap berdiri teguh di atas landasan
perjuangan menegakkan Islam walaupun kumpulan serpihannya akan
menubuhkan parti baharu melalui wadah GHB.
Katanya, situasi serupa pernah dialami Pas apabila kumpulan-kumpulan
serpihannya meninggalkan parti untuk menubuhkan Barisan Jemaah Islamiah
SeMalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).
“Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika
umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya,”
ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment