Monday, July 27, 2015

Perkukuhkan Parti, UMNO Mesti Jadi Juara Suara Hati Rakyat

27 Julai 2015, Kluang : Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata, semua ahli parti perlu mengambil peluang sempena mesyuarat UMNO bahagian yang bermula hari ini sehingga 31 Ogos ini bagi mencari jalan mengukuhkan parti selain memberi peluang kepada semua ahli melahirkan pandangan.

Ujarnya, mesyuarat bahagian ini adalah medan terbaik untuk semua ahli UMNO memberi pandangan dan melahirkan suara akar umbi.

“Saya sedia maklum, rata-rata akar umbi dalam keadaan gelisah dengan isu dan keadaan yang sedang dihadapi oleh parti. Pelbagai perspektif buruk dilemparkan kepada parti selaku tunjang kepada kerajaan.
11752384_935910599781303_1787573810043741413_n

“Sekiranya parti tidak dapat memahami pandangan atau suara hati rakyat maka saya bimbang suara hati rakyat ini akan disuarakan oleh pembangkang. Pembangkang akan mengambil kesempatan di atas kealpaan kita,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau lagi yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kluang, di zaman serba moden ini, rakyat terlalu mudah mendapatkan maklumat dan perkara ini tidak dapat dikawal.

“Kita tidak boleh halang maklumat ini sampai kepada rakyat, maka segala apa sahaja kegelisahan rakyat ini perlu diambil kira.

“Kerajaan harus bersikap terbuka untuk menjawab agar segala persepsi negatif ini agar dapat ditangani dengan baik untuk mengembalikan keyakinan rakyat khususnya di akar umbi”, katanya.

Justeru beliau menyeru agar semua kepimpinan dan ahli pergunakan platform mesyuarat di bahagian masing- masing untuk perkukuhkan parti dan menjadi juara suara hati rakyat.

“Saya percaya kita semua sayangkan parti sebab kita dah banyak bekerja dan berjuang malah ini antara perjuangan yang diwarisi oleh nenek moyang kita.

“Ini terbukti dengan pelbagai kejayaan yang telah negara kecapi tanpa sedikit pun kita mengenepikan agama dan bangsa lain di negara ini,” ujarnya lagi.

Oleh itu, beliau amat berharap agar semua ahli UMNO jangan berasa bimbang dan ragu untuk bersama-sama membina kekuatan parti apatah lagi dalam suasana parti sedang berusaha keras bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment