Sunday, July 05, 2015
Saya Bukan Hendak Sangat Jawatan MB, Cuma Mahu Bertanggungjawab - Khalid
Putrajaya : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan beliau mahu mengambil
alih jawatan Menteri Besar daripada Mohamed Azmin Ali apabila kerap
mendesak pemimpin berkenaan berundur daripada jawatan tersebut.
Sebaliknya kata Mantan Menteri Besar itu, tujuannya tidak lebih daripada
sekadar menawarkan kesediaan untuk bertanggungjawab kerana tidak mahu
rakyat di Selangor dan Lembah Kelang terus terbeban ekoran penstrukturan
semula air yang masih tertangguh.
"Oh tidak.. saya hanya menawarkan dan tak bermakna orang akan terima.
Tujuannya adalah untuk menunjukkan kesediaan saya untuk
bertanggungjawab.. Saya tidak terfikir untuk menjadi Menteri Besar, tapi
ketika orang tak dapat menjalankan tugas dengan baik, saya bersedia
memikul tanggungjawab tersebut, itu saja.
"Saya bukan hendak sangat (jawatan), saya hendak tunjukkan setiap
pemimpin mesti bertanggungjawab untuk menentukan jika dia berjanji untuk
beri perkhidmatan yang terbaik terhadap rakyat, dia mesti menunaikan
tanggungjawab tersebut," katanya dalam sidang media selepas menghadiri
Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Yatim Darul Fuqaha di sebuah hotel di
sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataannya sebelum ini yang
mendesak Azmin berundur sebagai Menteri Besar ekoran gagal menyelesaikan
masalah air.
Khalid dalam kenyataannya itu beberapa hari lalu berkata Azmin bukan
sahaja melengah-lengahkan proses pengambilalihan keempat-empat syarikat
konsesi air, malah gagal tampil dengan satu pelan konkrit untuk
menyelesaikan semua isu berkaitan perkhidmatan air.
Mengulas lanjut, ADUN Pelabuhan Klang itu berkata, beliau mahu melihat
kerajaan negeri pimpinan Azmin mengotakan janji untuk menyelesaikan isu
berkenaan selewat-lewatnya minggu depan seperti yang telah dinyatakan di
akhbar.
"Isu air menjadi prinsip perjuangan kita yang pertama. Tak ada negeri di
Malaysia yang sanggup memperjuangkan isu air dalam asas menetukan
rakyat dapat air, iaitu yang paling besar yang mungkin rakyat tak lupa
Selangor satu-satunya negeri di malaysia yang sanggup beri air percuma
20 meter padu," ujarnya.
Beliau juga meluahkan kekhuatiran kelewatan tindakan daripada kerajaan
negeri akan mempengaruhi sikap pekerja yang terlibat dalam penstrukturan
air berkenaan.
"Setiap pengambilalihan mesti dibuat dengan cepat dan tertib. Kalau
dilewatkan, boleh jadi pekerja itu juga melewatkan kerja mereka sebab
tak ada perasaan tanggungjawab sebab mereka tak tahu sama ada mereka di
bawah satu kepimpinan yang lebih mantap dan lebih baik," katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment