Wednesday, February 10, 2016
Banjir : Tiada Cuti Umum Di Sarawak Hari Ini
Pejabat Ketua Menteri Sarawak menafikan khabar angin hari ini akan
diisytiharkan cuti umum peristiwa susulan banjir yang melanda beberapa
daerah di negeri ini.
Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Ambrose Cheng ketika dihubungi
mengesahkan berita yang disebarkan menerusi laman sosial itu sebagai
palsu dan motif penyebarannya sedang dikenal pasti.
"Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tidak pernah mengeluarkan sebarang
kenyataan atau membuat pengumuman hari ini (10 Februari 2016) sebagai
cuti umum (peristiwa) seperti yang menjadi viral di laman sosial.
"Berita itu adalah palsu dan tidak benar sekali. Kita percaya ada pihak
tertentu cuba mengambil kesempatan menyebarkan maklumat tidak tepat
susulan kejadian banjir yang berlaku," katanya.
Bagaimanapun, Adenan menyuarakan rasa sedih terhadap nasib menimpa
mangsa banjir dan berharap mereka bersabar dalam menempuh musibah itu.
"Ketua Menteri turut mengingatkan mangsa banjir, terutama penduduk di
lokasi berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mengawasi pergerakan
anak-anak mereka bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,"
katanya.
Katanya, orang ramai juga diminta supaya mendapatkan maklumat daripada
saluran sah, termasuk Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam
Negeri dan pihak berkuasa berhubung perkembangan terkini banjir di
kawasan masing-masing bagi mengelak sebarang kekeliruan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment