Wednesday, February 17, 2016

Isu Panggil Balik 94,577 Kereta... Proton Buat Pengakuan Yang 'Menyakitkan'

Macam ada tidak kena... tiba-tiba sahaja pecah berita yang pembuat kereta jenama Malaysia Proton, panggil balik hampir 100,000 ribu kenderaannya. Pihak pengurusannya mengakui gagal mendedahkan kerosakan yang ditemui pada kenderaannya dan secara senyap-senyap menukar alat ganti apabila pemilik membawa kereta untuk selenggaraan.

Susulan berita hampir 100,000 kereta melibatkan model-model Preve, Exora dan Suprima dipanggil semula, ketua pegawai eksekutif Datuk Abdul Harith Abdullah berikrar untuk lebih telus selepas ini.

“Kami tidak suka bercerita atau menyuarakan kelemahan kami. Biasanya apa yang kami lakukan menunggu pelanggan datang menghantar kereta mereka untuk servis berikutnya.

“Kami akan log masuk dan melihatnya di komputer ‘OK kereta ini kita perlu tukar alat gantinya.’

“Jika pelanggan tidak datang, maka kecenderungannya, masalah itu akan berlaku,” katanya hari ini.

Abdul Harith merujuk masalah “hos penyejuk minyak CFE” yang akan “meletup” selepas penggunaan 40,000km, maklumat yang tidak diberitahu kepada pengguna-pengguna Proton.

Beliau berkata Proton kini aktif memanggil semula barangan yang rosak bagi memastikan ia dibaiki atau diganti sebelum rosak.

“Ia tentang kejujuran,” katanya.

Abdul Harith juga mengakui pusat-pusat servis Proton tidak begitu bagus berbanding pesaing-pesaingnya, tetapi menambah syarikat itu telah mula membetulkan kelemahan tersebut.

Beliau berkata pengakuan yang “menyakitkan” itu perlu dibuat jika Proton mahu terus kekal relevan di Malaysia.

Model yang terlibat adalah varian CFE termasuk Proton Exora (59,663 unit), Preve (28,642 unit) dan Suprima S (6,290 unit). Proton mengakui kesilapan ini dilakukan ketika memilih material bagi hos penyejuk minyak tersebut.

Isu ini timbul apabila minyak daripada hos getah itu menjadi berasid dan mengakisnya bergantung pada suhu yang tinggi. Proton akan menggantikan hos getah yang bermasalah tersebut dengan hos logam dan turut mengesahkan penukaran komponen ini akan bermula penghujung bulan ini.

Bagi pemilik kenderaan yang terlibat dan yang masih dilindungi waranti, Proton berkata, kos penukaran komponen terbabit dan tenaga buruh akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu.

Manakala bagi pengguna kenderaan yang terlibat tetapi telah tamat warantinya, Proton berkata, ia hanya akan dilakukan secara percuma sekiranya anda mematuhi perkhidmatan servis berkala yang disyorkan. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment