EDITOR MENULIS...
17 FEBRUARI 2016
Sejak dilaporkan tentang seorang wanita menjadi perhatian ramai
kerana didakwa di mahkamah kerana menghina Perdana Menteri, Dato’ Seri
Najib Tun Razak mengenai TPPA, saya melihat masih ada yang memberi
sokongan kepadanya.
Mereka mendakwa, hinaan yang dilakukan wanita itu adalah ‘tepat’ dan
‘benar’ berdasarkan kritikan bertulis yang dibuat di Facebook. Mereka
mendakwa wanita itu ‘berani’ kerana perbuatan tersebut.
Ada pula yang menyindir secara sinis, mengatakan akan ‘berubah’
memuji dan membodek pemimpin setelah melihat apa yang berlaku pada
wanita itu. Mereka mengatakan itu adalah perjuangan dan turut menyentuh
tentang kebebasan bersuara di Malaysia.
Pada pandangan saya, sebelum memberi apa-apa komen secara lisan,
bertulis atau seumpamanya, seorang warganegara itu perlu tahu tentang
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan bersuara.
Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan mengatakan:
“Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara”.
Jika dilihat secara zahir pada petikan Perkara 10 itu, mungkin ramai
yang berfikir mereka bebas untuk berkata atau menulis apa saja yang
mereka suka. Mereka fikir kebebasan itu diberikan secara ‘mutlak’ oleh
Perlembagaan Persekutuan?
Sebenarnya, tafsiran bagi petikan Perkara 10 itu menggariskan bahawa kebebasan
bercakap dihadkan kepada kata-kata yang tidak menjadi fitnah, kata-kata
yang tidak menjadi hasutan, kata-kata yang tidak mencerca mahkamah atau
yang melanggar hak keutamaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Tafsirannya juga menjelaskan bahawa sesiapa yang menyebut,
menulis, mencetak, menjual atau menyiarkan perkataan-perkataan yang
mempunyai maksud hasutan dan menyoal perkara-perkara sensitif seperti
hak istimewaan orang Melayu dianggap sebagai melakukan kesalahan
mengikut undang-undang dan mereka boleh dihukum sehingga lima tahun
penjara atau denda sebanyak RM5000.
Itulah tafsiran sebenar petikan Perkara 10 tentang kebebasan bersuara
itu dari sudut Perlembagaan Persekutuan yang menjadi sumber perundangan
tertinggi negara Malaysia.
Jadi pada pandangan penulis, sepatutnya kita semua tahu tentang
perkara ini kerana rata-ratanya kita adalah mereka yang suka bersuara
sama ada secara lisan atau tulisan di media-media sosial. Fahami
betul-betul apa yang dinyatakan.
Bukanlah penulis maksudkan bahawa kita tidak dibenarkan mengkritik
mana-mana pemimpin atau individu yang kita tidak suka. Kita memang
dibenarkan berbuat begitu, namun kita perlu tahu tentang batas-batas
yang dibenarkan undang-undang.
Mengkritik tidak semestinya perlu menabur fitnah atau menghina.
Mengkritik boleh dilakukan secara berhemah dan adil. Sebagai contoh,
mungkin kita boleh mengkritik adik-adik kita dengan bahasa yang garang
dan tegas. Namun apakah kita wajar memfitnah dan menghina bapa kita jika
dia melakukan kesilapan? Mahu makan penampar?
Firman Allah SWT:
“Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu
dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan
cara yang paling baik.. ” (Surah An-Nahl : 125)
Berpandukan firman Allah itu maka jelaslah bahawa kita diseru supaya
menggunakan cara yang baik dan berhikmah untuk menegur sesiapa saja.
Secara umum, cara menegur rakan, adik, abang, ibu, bapa, pemimpin, pihak
berkuasa dan sebagainya mempunya kaedah yang tidak serupa, bukan? Apa
hukumnya melanggar seruan Allah agaknya?
Jadi, berhati-hatilah apabila membuat kritikan dan usahlah melampaui
batas-batas yang telah ditetap Islam dan undang-undang negara. Tegurlah
setiap saat sekalipun asalkan ia tidak melanggar ketetapan agama dan
perundangan tersebut.
Namun jika enggan juga mematuhi apa yang digariskan agama dan
undang-undang negara, maka janganlah terkejut atau marah-marah jika
pihak berkuasa menjalankan tugas mereka membawa individu terbabit ke
muka pengadilan.
‘Pengadilan’ di depan Allah pula terpulang sama ada mahu meminta maaf
kepada yang difitnah dan dihina itu atau tidak. Jika meminta maaf dan
dimaafkan, maka selesailah. Memaafkan juga dianjurkan dalam Islam, namun
tidak berdosa jika enggan memaafkan. Jadi pandai-pandailah selesaikan
secara baik dari sudut agama…
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment