Wednesday, February 10, 2016
PAS Sedia Garis Panduan Rai Masyakarat Bukan Islam
PAS akan menyediakan satu garis panduan baru bagaimana pemimpin-pemimpin
itu boleh menyambut atau menyertai perayaan masyarakat bukan Islam.
Cadangan naib presidennya Iskandar Abdul Samad dibuat selepas insiden
seorang wakil rakyatnya di Selangor didapati memakai kostum menyerupai
dewa rezeki, atau Cao Guo Jiu, ketika menyambut Tahun Baru Cina.
“PAS perlukan satu garis panduan yang terperinci tentang budaya dan
agama masyarakat bukan Islam. Yang ada sekarang hanya polisi secara am
sahaja,” katanya Selasa.
“Perayaan kebudayaan boleh [disertai] dan perayaan keagamaan tidak boleh. PAS jelas dalam hal ini.”
Gambar Mohd Khairuddin Othman memakai kostum itu sambil mengedarkan
limau dan bermesra dengan warga emas di Wangsa Permai dalam kawasan yang
diwakilinya menjadi viral.
Susulan kontroversi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras memohon maaf secara terbuka.
Khairuddin, yang juga setiausaha PAS Selangor, berkata beliau dimaklumkan oleh penduduk kostum itu pakaian maharaja China.
Tambahnya, beliau yakin Tahun Baru Cina perayaan budaya masyarakat Cina dan pakaian itu juga sebahagian budaya.
“Sebagai menghormati majlis budaya bangsa lain, saya tidak menolak untuk memakainya,” jelasnya di Facebook semalam.
Dalam kenyataannya, Iskandar berkata panduan terperinci diperlukan
kerana sebahagian sambutan perayaan bukan Islam melibatkan upacara
keagamaan.
“Contohnya bagi Tahun Baru Cina yang merupakan perayaan kebudayaan
tetapi terdapat masyarakat Cina yang mengadakan upacara sembahyang
khas,” katanya.
“Upacara sembahyang sudah tentu [pemimpin Islam] PAS tidak boleh terlibat.”
Iskandar, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, mengarahkan Dewan Ulama
PAS negeri dan Biro Perpaduan Nasional PAS Selangor mengkaji garis
panduan tersebut.
“Garis panduan ini penting bagi kami di Selangor kerana kami
berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam sepanjang masa,” katanya
lagi.
“Mereka adalah jiran kami, rakan sekerja kami malah saudara-mara kami
bagi yang berkahwin campur. Ia bukan semata-mata kerana keperluan
politik.”
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment