Monday, February 01, 2016

Pengubahsuaian Bajet 2016 Melindungi, Membela Nasib Rakyat – KM Sabah

http://sabahkini.com/wp-content/uploads/2015/10/musa-business-friendly2.jpg
KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyifatkan Pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, membela nasib rakyat.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata ia terbukti dengan pelaksanaan beberapa langkah dalam pengubahsuaian berkenaan yang jelas masih mendahulukan kepentingan rakyat termasuk rakyat di Sabah.

“Walaupun menghadapi cabaran dalam tempoh yang sukar ini, kita bersyukur kerana kerajaan tetap melindungi dan membela nasib rakyat. Ini dibuktikan dengan pelaksanaan beberapa langkah yang mendahulukan kepentingan rakyat termasuklah kita di Sabah.

“Antaranya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo tetap diteruskan di samping penambahan dua lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Tawau dan Keningau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru Musa berkata rakyat, khususnya di Sabah, merakamkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan khususnya Perdana Menteri terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Sambil menyokong penuh pengubahsuaian Bajet 2016 berkenaan, Ketua Menteri berkata langkah yang diambil kerajaan berkenaan amat tepat pada masanya bagi menghadapi kesan kelembapan ekonomi global dan membantu meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi negara terus mapan dan berdaya tahan.

Musa juga optimis bahawa apapun cabaran yang di hadapi akan dapat diatasi sekiranya rakyat Malaysia terus bersatu hati dan menyokong apa juga usaha dan langkah terbaik yang mampu dilakukan oleh Kerajaan.

“Semuanya adalah menjurus kepada pengukuhan ekonomi serta mengoptimumkan sumber yang ada dalam memastikan pembangunan dapat terus dipacu dan rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya, dalam kita menghadapi cabaran ekonomi ini,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment