Monday, February 01, 2016
Pengumuman Berani Adenan Menyimpang Dari Norma Kebiasaan...
Keputusan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk membuat
'pengumuman awal' mengenai cadangan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN)
ke-11, telah menggemparkan seluruh penduduk Kuching.
Meskipun sudah menjadi kelaziman bagi beliau untuk membuat keputusan
yang berani, Adenan bagaimanapun berjaya mengejutkan hadirin pada satu
majlis di Santubong, Sarawak pada Jumaat malam, apabila mengumumkan
secara terang-terangan mengenai tarikh PRN ke-11 yang dicadangkan pada
30 April manakala penamaan calon pada 18 April.
Beliau dilihat menyimpang daripada norma kebiasaanya, iaitu lebih suka
menyimpan rahsia mengenai tarikh keramat berkenaan dan pengumuman
tersebut, telah diterima secara positif oleh rakyat sama ada di dalam
atau pun di luar bidang politik.
Penganalisis sains politik Prof Madya Dr Jeniri Amir berpendapat,
pengumuman itu memberi dua petunjuk iaitu pemimpin negeri berusia 71
tahun itu bukan sahaja berkeyakinan memenangi PRN ke-11, namun yakin
untuk memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar.
Kedua, katanya, Barisan Nasional (BN) negeri sudah bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
PRN ke-11 ini, bakal menjadi pilihan raya negeri pertama yang dipimpin oleh Adenan sebagai Ketua Menteri.
"Apa yang boleh saya katakan ialah beliau (Adenan) mempunyai keyakinan.
Dengan memilih untuk mendedahkan beberapa bulan lebih awal tarikh yang
dicadangkan itu, Adenan juga berhasrat untuk menghentikan semua
spekulasi mengenai tarikh berkenaan," kata Dr Jeniri yang juga Dekan
Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Jeniri memberitahu media bahawa pada masa yang sama, pengumuman itu
juga menguntungkan semua parti politik, iaitu memperoleh peluang sama
rata serta masa yang mencukupi untuk memperlengkapkan jentera
masing-masing bagi menghadapi acara yang dinanti-nantikan itu.
"Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya berpendapat, ia patut
menjadi pendekatan pada masa depan, untuk mencapai demokrasi yang
matang," katanya.
Sebagai reaksi segera terhadap pengumuman ketua menteri itu, Suruhanjaya
Pilihan Raya berkata hanya badan berkenaan mempunyai kuasa untuk
memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, selepas Dewan Undangan
Negeri (DUN) dibubarkan.
"Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa SPR akan membuat keputusan
berdasarkan tarikh yang dicadang dan dikemukakan oleh Ketua Menteri,"
kata Dr Jeniri.
Menurut Dr Jeniri, tarikh yang diberikan itu juga ditetapkan secara
strategik dengan program kedua 'Senada Sejiwa', program kerajaan negeri
yang bertujuan untuk memperhebatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.
Program ini telah dilancarkan pada awal Januari dan acara kemuncak akan diadakan di Mukah pada 20 Mac depan.
"Ini adalah petunjuk jelas bahawa Pilihan Raya Negeri akan diadakan
dalam April. Program ini juga akan digunakan bagi mengukur sokongan
rakyat terhadap kerajaan yang memerintah," katanya.
Program 'Senada Sejiwa' diperkenalkan buat pertama kalinya, sebagai program pembuka tirai pada PRN ke-10, April 2011.
Pada pilihan raya lalu, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sebanyak 82 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN kali ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment