Wednesday, February 10, 2016

Penjelasan Terhadap Andaian Menteri Luar Arab Saudi Bahawa Dana 2.6B Bukan Derma

New York Times (NYT) melaporkan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menyatakan dia tidak fikir wang yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak datang dari Kerajaan Arab Saudi atau derma politik. Katanya, "it is a private Saudi citizen, I believe, and the funds went to an investment in Malaysia.” Pada waktu yang sama tidak ada sebarang dokumen atau bukti yang ditunjukkan kepada NYT.

Kita tidak pasti sejauh mana Menteri Luar Arab ini mempunyai pengetahuan tentang sebarang dana atau sumbangan yang diberikan oleh mana-mana pihak di Arab Saudi kepada sebarang individu di dunia ini, tetapi apa yang pasti beliau sendiri tidak pasti dana tersebut diberikan oleh siapa dan kepada syarikat mana. 

Tiada sebarang dokumen dikemukakan dan tidak dinyatakan pelaburan tersebut adalah untuk syarikat mana dan perniagaan apa. Perkataan yang digunakan oleh Menteri Luar Arab Saudi ini adalah "saya tidak fikir" dan "saya percaya" yang lebih merupakan andaian semata-mata.

Jika beliau mempunyai bukti yang menyokong kenyataan beliau, kita percaya kenyataan yang dibuat akan lebih tegas dan berani, serta disokong dengan bukti-bukti.

Sebaliknya, pengesahan bahawa dana tersebut adalah derma telah disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan Ogos 2015 berdasarkan dokumen yang diperolehi dari Bank Negara Malaysia. SPRM juga mengesahkan bahawa mereka telah berhubung dengan pihak penderma yang mengesahkan ia merupakan sumbangan kepada Perdana Menteri.

Boleh dikatakan, sekali lagi media antarabangsa cuba bermain dengan persepsi. Tiada sebarang bukti dikemukakan. Sebaliknya yang dilaporkan hanyalah andaian Menteri Luar Arab Saudi.

Apa yang penting dari pendedahan ini ialah (i) Tiada penyalahgunaan wang kerajaan atau 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti mana yang didakwa oleh pembangkang dan Tun Mahathir.

(ii) Ia bukan merupakan rasuah atau suapan untuk kelulusan sesuatu projek kerana sehingga hari ini tiada sebarang projek yang kita ketahui dianugerahkan kepada syarikat Arab Saudi oleh kerajaan Malaysia. Sebaliknya, Malaysia pula telah mendapat beberapa projek di Arab Saudi termasuk projek MRT di sana. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment