Wednesday, February 17, 2016

Perlu Ada Formula Terbaik Fahamkan Generasi Y Tentang Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR : Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed berkata UMNO perlu segera merangka formula untuk memberi kefahaman jelas terutama kepada Generasi Y mengenai perjuangan UMNO yang akan berusia 70 tahun pada 11 Mei nanti.

Formula itu tegasnya penting kerana asakan-asakan pihak tertentu dalam medium media baru yang sentiasa memberi gambaran atau persepsi salah terhadap UMNO yang menjadi tunjang kepada kerajaan ini.

“Pada 11 Mei tahun ini, UMNO akan genap usia 70 tahun dan ia adalah satu usia yang cukup matang namun sayangnya ramai antara Generasi Y masih tidak faham perjuangan sebenar UMNO.  Mereka ini sebenarnya tidak mendapat maklumat yang betul tentang perjuangan UMNO.
Generasi Muda UMNO 
“Hakikatnya UMNO bukanlah sebuah parti yang sempurna apatah lagi dalam usia 70 tahun tentulah terdapat lompong-lompong kesilapan sepanjang usia tersebut. Namun jika dibandingkan dengan parti-parti pembangkang yang lain ternyata UMNO jauh lebih baik dalam mentadbir negara yang merangkumi pelbagai kaum.  Ini bukan satu tugas yang mudah,” ujarnya kepada media.

Tambah beliau, Generasi Y tidak boleh menyamakan usia UMNO dengan manusia kerana kesilapan yang dilakukan oleh individu manusia adalah lumrah.

“Mereka perlu sedar bahawa Perdana Menteri yang pertama sehinggalah sekarang, masing-masing ada melakukan kesilapan.  Cuma yang membezakan adalah pada era maklumat di hujung jari ini terlalu banyak persepsi buruk serta fakta-fakta yang dimanipulasikan hingga Generasi Y ini terperangkap dengan mainan politik pihak lawan”, katanya.

Justeru beliau menekankan bahawa Pergerakan Pemuda dan Puteri kini perlu berusaha keras untuk mencari satu formula terbaik yang menjadi ‘butang’ yang boleh ditekan dan berkesan bagi memahamkan Generasi Y ini tentang perjuangan UMNO.

“Pergerakan Puteri dan Pemuda harus berusaha keras mencari formula tersebut. Turun ke bawah dan giatkan aktiviti untuk menerangkan secara terperinci kepada generasi ini apa yang berlaku, apa yang betul dan rungkaikan kekeliruan mereka.

“Kita perlu mendapatkan butang yang betul untuk kita tekan agar generasi Y mesti menerima hakikat bahawa tidak ada parti lain yang boleh mempertahankan dan memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan tanahair sebaik UMNO”, ujarnya.

Beliau seterusnya yakin jika terdapat penolakan dari Generasi Y ini bukanlah disebabkan kegagalan perjuangan UMNO tetapi kerana mereka dikelirukan oleh gerakan tersusun pihak lawan yang sentiasa berusaha memanipulasi apa jua keadaan bagi mengelirukan golongan muda ini untuk menolak UMNO.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment