Friday, February 12, 2016
PKR Perlu Cari 'Model' Baru Gantikan Anwar - Penganalisis Politik
SHAH ALAM : PKR perlu menampilkan pemimpin muda dalam kalangan mereka
bagi menggantikan penasihat partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
masih berada dalam penjara.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),
Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ini jelas apabila
Anwar tidak lagi relevan untuk dijadikan modal dalam setiap aktiviti
mereka bagi mempengaruhi rakyat.
"Saya nampak Anwar ini pemimpin generasi lama tetapi kalau dia
bertanding dalam pilihanraya saya rasa dia menang disebabkan oleh
simpati rakyat masih kepada dia lagi kan.
"Kalau hendak harapkan Anwar Ibrahim, saya rasa bukan masa dia, masa dia
sudah berlalukan," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.
Beliau dalam pada itu percaya, langkah ini tidak akan memberi masalah
kepada PKR yang sebelum ini sering menampilkan muka-muka baru dalam
usaha meremajakan parti itu.
"Tetapi dalam konteks parti nasional ini sepatutnya orang baru ditonjolkan untuk memimpin negara.
"Jadi saya rasa itu yang saya nampak sekarang ini dan saya nampak
pembangkang ini lebih agresif menampilkan muka-muka muda berbanding
Umno-Barisan Nasional masih meletakkan muka-muka lama," katanya.
"Tetapi generasi lama ini tidak tahan lama, kalau bertahan pun dalam
satu atau dua penggal lagi, jadi generasi baru akan ambilalih.
"Jadi sekarang ini kita lihat Anwar Ibrahim dia hanya kekal sebagai simbol kepada perjuangan PKR atau pun pembangkang.
"Tetapi kalau dia hendak jadi pemimpin utama pembangkang akan datang
susahlah dengan keadaan dia dalam penjara, banyak kekangan dia. Jadi
sebab itulah pembangkang perlu mencari seorang yang boleh diterima oleh
ramai," katanya.
Beliau mengulas berhubung Perhimpunan 365 Bebas Anwar yang kurang
mendapat sambutan dan disertai hanya kira-kira daripada 1,000 peserta.
Perhimpunan tersebut diadakan di pintu hadapan penjara Sungai Buloh baru-baru ini sempena setahun pemenjaraan Anwar.
Malah Azizuddin yang juga penganalisis politik menegaskan bahawa zaman
sekarang, rakyat Malaysia lebih memberi fokus kepada isu ekonomi
berbanding politik.
Katanya, kerisauan rakyat Malaysia kini lebih tertumpu mahu membaiki
ekonomi masing-masing berbanding memberikan tumpuan kepada politik
tanahair.
"Sekarang ini perspektif rakyat Malaysia sudah berubah, dan dalam masa
sekarang ini, samaada rakyat di bandar atau luar bandar adalah berkait
dengan ekonomi, jadi momentum itu akan lebih kepada ekonomi sampai
kepada pilihanraya akan datang kecuali ada tercetus momentum lain,"
katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut percaya keengganan pemimpin PAS
untuk turun memberi sokongan kepada Anwar di Perhimpunan 365 Bebas Anwar
disebabkan kehadiran PAN yang turut menyertai perhimpunan tersebut.
"Dia sebenarnya sebab ada Parti Amanah Negara (PAN) saja, kalau tiada
Amanah itu mungkin dia (PAS) datang kot, tetapi dia ini tidak boleh
duduk semeja dengan kumpulan Amanah ini lagi lah," katanya.
Perhimpunan 365 Bebas Anwar hanya disertai PKR, DAP dan PAN sementara
PAS walaupun berada dalam blok pembangkang dilihat tiada seorang pun
pemimpinnya hadir bagi menyatakan sokongan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment