Wednesday, February 17, 2016
Sektor Pelancongan Mampu Menjana Pertumbuhan Ekonomi Negara Di Masa Depan
Sektor pelancongan mampu kekal sebagai enjin pertumbuhan utama ekonomi
negara pada masa depan jika semua pemain industri meningkatkan
kerjasama, daya usaha dan inovasi bagi mempromosikan produk serta
perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelancong asing dari seluruh
dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata
langkah itu selari dengan matlamat kerajaan mahu menarik lebih 36 juta
pelancong dari seluruh dunia ke Malaysia dan menjana pendapatan
berjumlah RM168 bilion, pada tahun 2020.
Ahmad Zahid berkata, beliau percaya sasaran itu mampu dicapai kerana
sektor pelancongan negara sentiasa berkembang pesat setiap tahun.
"Oleh itu, kerajaan sedang dan akan melaksanakan pelbagai usaha bagi
menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia, termasuk dengan
mempermudahkan dan menghapuskan bayaran visa yang sebelum ini dikenakan
kepada pelawat dari China.
"Kerajaan berharap usaha berkenaan dapat menarik lebih lapan juta
pelancong asing dari China pada tahun ini. Apa yang penting bagi
kerajaan sekarang bukan hanya menyediakan dasar bagi menarik seramai
mungkin pelancong asing ke Malaysia, malah pada masa sama memastikan
tahap keselamatan negara sentiasa terjamin," katanya ketika berucap pada
majlis penyampaian Anugerah Pelancongan Malaysia ke-19 di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed
Nazri Abdul Aziz; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron;
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati
Samsudin dan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Ong Hong Peng.
Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu perlu kerana industri
pelancongan ketika ini menjadi penyumbang kedua terbesar dari segi
tukaran wang asing selepas eksport industri pembuatan, dan keenam
terbesar dari segi ekonomi dengan menyumbangkan 14.9 peratus atau RM161
bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014.
Beliau berkata, sektor pelancongan juga berjaya menarik pelaburan
bernilai RM19.4 bilion dan membuka 1.77 juta peluang pekerjaan pada
tahun sama.
"Organisasi Pelancongan Sedunia (UNWTO) meramalkan sektor pelancongan
antarabangsa akan berkembang empat peratus pada tahun ini. Di rantau
Asia dan Pasifik pula akan berkembang antara empat peratus atau lima
peratus.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu bersedia untuk menghadapi saingan
dari negara jiran terutama Thailand dan Indonesia yang sangat agresif
mempromosikan produk pelancongan masing-masing.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment