Sunday, April 05, 2015
BR1M Satu Kesilapan Besar BN?
5 April 2015, Kuala Lumpur : Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
ketika berucap dalam sebuah di Cyberjaya Sabtu mengulangi lagi
kritikannya terhadap program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang
dianggapnya satu kesilapan besar yang dilakukan Kerajaan Pusat.
Kata beliau, pemberian bantuan kewangan seumpama itu bermaksud
kerajaan mengharapkan balasan dalam bentuk sokongan dan kesannya
menyebabkan rakyat terlalu bergantung harap kepada kerajaan.
Kritikan itu bukan perkara baru kerana pada tahun lepas Tun Mahathir
juga mengibaratkan bantuan kewangan BR1M yang berskala besar itu
kelihatan seperti rasuah dan perlaksanaannya tidak mendorong peningkatan
pendapatan perkapita rakyat.
Tun Mahathir berhak menyuarakan kritikannya sama sebagaimana kita
rakyat marhaen yang mempunyai pertimbangan sendiri dan berhak menentukan
samada nak bersetuju atau sebaliknya dengan pandangan beliau.
Bagaimanapun untuk mengatakan BR1M merupakan satu kesilapan atau
rasuah berskala besar agak tidak tepat dengan tujuan sebenar bantuan
kewangan tersebut diperkenalkan dan mula dilaksanakan tahun 2012.
BR1M sebagaimana umum ketahui fokusnya tertumpu kepada keluarga yang
isi rumahnya berpendapatan kurang dari RM4,000 sebulan. Matlamat
utamanya hanyalah untuk meringankan bebanan kewangan golongan sasar.
Ia tiada kaitan dengan usaha menambah pendapatan perkapita individu
dan tentu sekali tidak boleh disamakan dengan bantuan bulanan sara hidup
penganggur seperti diamalkan oleh Britain.
Sebaliknya konsepnya sedikit sama seperti bantuan zakat dalam konteks
membantu mereka yang memerlukan dan meringankan beban kehidupan mereka.
Itu sahaja tujuannya.
Memanglah jumlah bantuannya tak sebesar mana, cuma beberapa ratus
sahaja, namun nilai yang dirasakan sedikit itu bagi sesetengah orang
hakikatnya besar manfaat untuk rakyat yang memerlukannya.
Demikian juga adalah tidak tepat untuk mengandaikan BR1M sebagai
rasuah oleh kerajaan untuk mengharapkan balasan sokongan undi dalam
pilihan raya. Perlaksanaan BR1M tidak tertakluk pada waktu pilihan raya
sebaliknya berterusan setiap tahun tanpa mengira penyokong kerajaan atau
pembangkang.
Ramai penerima BR1M kekal menyokong pembangkang dan pendirian mereka
itu tidak pula menyebabkan bantuan kewangan itu ditarik balik. Itu bukti
jelas perlaksanaan BR1M memang bermaksud membantu rakyat dan sama
sekali tiada kaitan dengan rasuah atau seumpamanya.
Dan tidak kurang pentingnya pemberian bantuan BR1M ini sedikit
sebanyak turut menjana kerancakkan aktiviti ekonomi dalam negara apabila
berlaku kitaran wang berjumlah lebih RM4 bilion melibatkan urusniaga di
antara 7 juta penerima bantuan dengan puluhan ribu peniaga di seluruh
negara.
Jelas sekali BR1M bukannya satu kesilapan kerana ternyata sejak ia
dilaksanakan rakyat menikmati manfaatnya. BR1M sebenarnya manifestasi
keprihatinan kerajaan kepada rakyatnya. Jika keprihatinan itu dianggap
satu kesilapan, apa guna wujudnya sebuah kerajaan?
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment