Sunday, April 05, 2015

Dakwa Lebih Bijak Urus Selangor Tapi Tagih Bantuan Hasil GST

3 April 2015, Kuala Lumpur : Permintaan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, jelas seorang penganalisa politik, Prof. Madya Mohd Hanafiah Harun ketika mengulas mengenai permintaan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali kepada Kerajaan Persekutuan supaya ditambah peruntukan hasil daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) atau lebih dikenali dengan GST.

PETA  SELANGOR

Beliau turut mempersoalkan sikap kerajaan pakatan pembangkang itu yang sentiasa bermegah dengan hasil pendapatan negeri bertambah sejak mengambil tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008 lalu, tetapi kenapa pula sekarang meminta tambahan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan hasil pendapatan pelaksanaan GST yang dikatanya zalim itu.

“Isu utamanya adalah jelas, kerajaan negeri Selangor tidak pandai mengurus perbelanjaan kerana sebagai sebuah negeri yang paling maju, sudah pasti tidak menghadapi masalah kewangan kerana mempunyai pendapatan yang tinggi berbanding lain-lain negeri dan sebenarnya cukup untuk mengurus tadbir negeri itu.

“Selama ini pun, bantuan dan peruntukan tahunan daripada kerajaan pusat tidak pernah putus walaupun berlainan ideologi politik,” katanya kepada UMNO-Online.

Pada tahun 2014, atas dasar federalisme, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM727.5 juta kepada kerajaan negeri Selangor, sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Besar baru-baru ini di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Cuba kita lihat negeri Selangor sekarang ini, dengan jadual kutipan sampah domestik yang tidak konsisten, dengan lampu jalan yang tidak bercahaya yang membahayakan keselamatan individu, itu menunjukkan contoh mudah mereka tidak mementingkan kebajikan rakyat, tidak pandai mengurus.

“Begitu juga dengan peruntukan untuk penyelenggaraan jalan raya yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan, dikatanya telah menggunakannya untuk pembaikan jalan yang rosak tetapi lihatlah kualitinya,” jelasnya.

Pada bulan Mac lalu, terdapat laporan yang menyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dr. Idris Ahmad mengakui kualiti jalan raya yang disediakan terkebelakang dan tidak sepadan dengan kedudukan Selangor sebagai negeri paling maju di negara ini.

“Mampukah sebenarnya mereka ini hendak mengurus? Isu penstrukturan air, perkara asas itu pun sekejap hendak batal sekejap hendak sambung, walhal ia untuk kepentingan rakyat,” tegas beliau.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment