Wednesday, April 15, 2015
Hebatnya Kesetiaan PAS
16 April 2015, Kuala Lumpur : Tiada apa yang mengejutkan apabila Timbalan
Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, parti
itu masih dalam pakatan pembangkang. Sebaliknya kenyataan beliau hanya
mengesahkan sikap setia membuta tuli parti itu dalam menjalinkan
kerjasama tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Sememangnya, susah untuk mana-mana juga parti mencari kawan sehebat
Pas. Setia, patuh dan akur dengan apa juga kata mahupun tindakan
sekutunya. Biar pun dasar perjuangan dihalang, biar pun Presiden parti
Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditohmah serta dianggap tidak bermaruah
namun ia sama sekali tidak menghakis kesetiaan Pas dalam pakatan
pembangkang.
‘Tahniah kepada PKR dan DAP kerana mempunyai sekutu yang begitu hebat
kesetiaannya sehingga sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja
asalkan mereka tidak dipinggirkan dalam usaha merebut kuasa politik
dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Sejak dari awal lagi, tiada mana-mana pun pihak di luar Pas percaya
bahawa parti itu meninggalkan pakatan pembangkang. Desak, kecam dan
katakanlah apapun ia sedikit pun tidak akan mengugat istiqamah Pas untuk
terus ‘tidur sebantal dan setilam’ dengan DAP serta PKR biarpun mimpi
lain-lain.
Pas sekarang bukan Pas dahulu. Pas sekarang adalah sebuah parti yang
semakin lemah untuk berjuang sendirian. Pas sekarang adalah sebuah parti
yang terlalu dahagakan kuasa dan meletakkan kepentingan politik
mengatasi segala-galanya.
Kalau tidak, mana mungkin mereka boleh membiarkan DAP memijak-mijak
maruah Pas apabila menghina Abdul Hadi. Kalau tidak mana mungkin mereka
boleh bersikap ‘melukut di tepi gantang’ biarpun perjuangan untuk
menegakkan hukum hudud ditolak mentah-mentah oleh DAP.
Kasihan ahli dan penyokong Pas khususnya mereka yang menunjukkan
keberanian luar biasa dengan memutuskan kerjasama dengan DAP di beberapa
negeri. Hanya mereka sahaja bersungguh-sungguh mahu mengajar DAP supaya
menghormati Pas tetapi pemimpin-pemimpin atasan belum ada keberanian
seumpama itu.
Sudah pastilah menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh,
Pas akan meminta ahli-ahlinya untuk terus menyokong PKR – parti yang
bersekongkol dengan DAP menolak hukum hudud Pas.
Ahli-ahli Pas diminta taat dan patuh kepada arahan pemimpin. Jangan
bantah sebaliknya istiqamah untuk terus berjuang bersama dalam pakatan
pembangkang. Bukan demi menegakkan perjuangan Islam, bukan disebabkan
DAP dan PKR akan menyokong hukum hudud tetapi dengan harapan untuk
berkongsi kuasa politik dengan kedua-dua parti itu.
Apapun penulis yakin di peringkat akar umbi sudah ada gelombang dan
gejolak yang mahukan Pas meninggalkan sahaja pakatan pembangkang dan
tidak terlalu tunduk kepada DAP dan PKR, tetapi mereka tidak boleh
berbuat apa-apa mungkin kerana suara mereka ‘tidak sekeras’ kedua-dua
parti itu.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment