Monday, April 13, 2015
Kerajaan Pusat Beli Tanah Untuk Bina Rumah Kekal Mangsa Banjir – Muhyiddin
11 April 2015, Kuala Krai : Kerajaan pusat akan membeli atau mengambil
balik tanah penduduk untuk pembinaan rumah kekal bagi mangsa yang
kehilangan kediaman akibat banjir di negeri ini pada Disember tahun
lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata langkah tersebut adalah tindakan segera kerajaan untuk
mengatasi masalah ketiadaan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah
kekal berkenaan.
“Jawatankuasa Pembangunan Pasca Banjir telah diarahkan untuk segera
mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai bagi pembinaan rumah kekal itu
dan ia berdekatan dengan rumah asal mangsa banjir,” katanya kepada
pemberita pada lawatan kerja pasca banjir di Dabong di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata kerajaan pusat akan menggunakan peruntukan RM700
juta yang disediakan sebelum ini untuk membantu mangsa di negeri-negeri
yang dilanda banjir, untuk tujuan penyediaan tanah tersebut.
Beliau berkata terdapat 1,918 buah rumah yang musnah sepenuhnya
akibat banjir di Kelantan dan hanya lima buah sahaja yang telah siap
dibina, disebabkan faktor ketiadaan tanah.
Timbalan Perdana Menteri berkata pemilihan tanah yang sesuai akan
turut dibincangkan dan mendapatkan persetujuan daripada mangsa banjir
yang akan mendudukinya supaya apabila rumah kekal siap dibina, mereka
bersedia untuk mendiami rumah berkenaan.
Beliau yang tidak dapat menjangkakan tempoh kesemua rumah kekal itu
dapat disiapkan, berkata jawatankuasa berkenaan akan melantik kontraktor
tempatan bagi membina rumah berkenaan.
Muhyiddin juga berkata sebanyak 1,858 buah rumah telah dikenal pasti
rosak akibat banjir di Kelantan dan kerja membaik pulih yang melibatkan
peruntukan antara RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap rumah sedang
dilakukan.
Beliau menjangkakan kesemua rumah yang rosak itu akan siap dibaik
pulih pada Jun depan dan beliau juga mahukan rumah transit segera
disediakan kepada mangsa yang masih tinggal dalam khemah sementara
menunggu rumah kekal siap.
Katanya beliau sendiri akan membuat pemantauan setiap bulan bagi
memastikan kerja pembinaan rumah kekal dan membaiki rumah yang rosak itu
berjalan lancar.
“Saya minta maaf jika ada mangsa yang sudah lama menunggu (untuk
mendapatkan rumah kekal), jangan marah kepada kerajaan, kami sudah ada
perancangan ke arah penyediaan tanah bagi pembinaan rumah kekal itu.
“Jika tanah hendak diambil balik, (pemilik tanah) tolong berikan,
bukan ambil percuma tetapi dibayar ikut harga pasaran, tuan-tuan tanah,
kami perlukan sokongan (anda),” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat sedang membantu
memulihkan pendapatan penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu
termasuk menyediakan dana sebagai modal.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kerajaan sedang
membaik pulih sekolah-sekolah yang rosak akibat banjir bagi memastikan
keselesaan pelajar dan guru serta sedang membaik pulih infrastruktur
lain yang rosak seperti jalan raya dan jambatan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong.
Muhyiddin yang sedang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini,
terdahulu mempengerusikan mesyuarat pasca banjir negeri Kelantan di
Pejabat Kesedar, Dabong di sini, sebelum meninjau lokasi penempatan
mangsa banjir di Dabong.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri
Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Dabong Datuk Ramzi Abd Rahman.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment