Monday, April 13, 2015
Peniaga Pasar Awam Gembira Dengan Keprihatinan Timbalan Perdana Menteri
12 April 2015, Butterworth : Peniaga di Pasar Awam Seberang Jaya jelas
gembira dengan keprihatinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertanyakan
keadaan dan masalah mereka semasa Timbalan Perdana Menteri melakukan
tinjauan mesra di pasar itu hari ini.
“Saya sempat meluahkan masalah peniaga di sini seperti masalah tempat
sesak serta keadaan bumbung yang sudah lama serta pembaharuan ruang
yang selesa diperlukan,” kata peniaga kedai makan, Haji Abdul Rahman
Amir Hussin.
Peniaga berusia 64 tahun itu berkata dia berasa teruja apabila kedainya dipilih Muhyiddin untuk bersarapan.
“Tidak sangka Timbalan Perdana Menteri akan menjamu selera di sini.
Beliau dijamu roti jala, roti canai dan kuih-muih seperti karipap, kuih
seri muka dan lompang atas permintaannya,” kata pemilik Aabah Kafe yang
sudah beroperasi selama 20 tahun itu kepada pemberita.
Muhyiddin melakukan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang dan antara
atur cara beliau ialah mengadakan mesyuarat dengan pimpinan Barisan
Nasional (BN) negeri bagi persiapan menghadapi pilihan raya kecil (PRK)
Parlimen Permatang
Pauh pada 7 Mei ini.
Muhyiddin yang turut beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di
pasar itu kira-kira 30 minit, turut menerima bunga ros daripada peniaga
N. Komathi ketika singgah di kedai wanita berusia 61 tahun itu.
“Saya sangat seronok apabila nampak Timbalan Perdana Menteri datang
kedai saya dan bertanya khabar. Jadi saya bagi bunga ros dan ia adalah
kali pertama saya memberi bunga kepada pemimpin,” katanya yang sudah
lima tahun berniaga di situ.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar
kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan
sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen
bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat
bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan
calon manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment