Monday, April 13, 2015
Tolak Pihak Langgar Sempadan Adab dan Adat
13 April 2015 : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
bertitah rakyat menolak golongan yang melanggar sempadan adab dan adat
yang dipelopori individu dan organisasi yang disifatkan sebagai buta
huruf terhadap sejarah negara.
Titah baginda, perbuatan mahu mengetepikan adab sehingga memijak adat
semakin ketara oleh mereka yang longgar pegangan adat dan kosong
fahaman adabnya.
Ini kerana golongan itu mempunyai pengetahuan cetek tentang tamadun
bangsanya, minda budaya pelarian dan minda terapung-apung serta tidak
ada akar budaya sehingga melanggar adab dan menyisihkan adat.
Berikut ialah titah ucapan Sultan Nazrin dalam Mesyuarat Dewan Negara
Negeri Perak ke-163 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar semalam:
Istiadat pertabalan ini bukan satu pesta untuk bersuka-suka dan
berpesta-pesta. Beta amat sensitif akan aspek perbelanjaan dan pada
setiap kali disembahkan taklimat, beta memperingatkan ahli-ahli
jawatankuasa agar dipastikan elemen bermewah-mewah dan bermegah-megah
dihindarkan daripada berlaku.
Istiadat ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperingatkan kembali
warga akan sejarah negara bangsanya yang memiliki tamadun dan telah
membina tamadun bangsa, berlandaskan adab – bertiangkan adat.
Sebagai sultan yang telah dipilih oleh mesyuarat Dewan ini pada 28
Mei 2014, beta wajib memenuhi tanggungjawab untuk memelihara adab dan
adat yang telah diwariskan turun-temurun sejak daripada Sultan Perak
yang pertama.
Setiap negara ada adabnya. Adab melibatkan aspek-aspek moral,
perilaku, perbuatan baik, kesantunan, kesopanan dan kemanusiaan. Malah,
kemajuan sesebuah negara bergantung pada warga yang mengamalkan disiplin
tinggi, kesusilaan terpuji, beradab sopan terhadap negara dan
menghormati lambang kedaulatan negara.
Setiap warga ada adatnya, ditakrifkan secara umum sebagai satu aturan
cara hidup, prinsip pegangan dan kepercayaan yang timbul daripada
pemikiran lalu mempengaruhi tingkah laku. Adat adalah hukum norma yang
dijunjung oleh kelompok masyarakat.
Dalam bahasa Melayu lama, adat sebenarnya merujuk kepada
undang-undang yang merangkumi bidang sosial, politik, ekonomi, malah
undang-undang samudera. Hukum adat adalah hukum yang berlandaskan
kebiasaan turun-temurun. Kerana adat itu secara konvensyen dianggap
sebagai undang-undang, lahir pepatah dalam masyarakat Melayu, yang sedia
mati anak daripada mati adat. Pepatah ‘Biar Mati Anak, Asalkan Tidak
Mati Adat’ memperlihatkan masyarakat Melayu amat menghormati
undang-undang.
Undang-undang sama sekali tidak akan dikompromikan walaupun yang
melakukan kesalahan itu adalah anak sendiri. Adat ialah peraturan hidup,
adat ialah gagasan kebudayaan. Masyarakat dan anggota masyarakat yang
menghormati dan menghargai adat adalah masyarakat dan anggota masyarakat
yang hidup bertatacara. Adat berfungsi membentuk sebuah masyarakat
berdisiplin yang maju, dinamik dan progresif. Adat itu mencerminkan jiwa
dan keperibadian sesuatu masyarakat – jiwa dan keperibadian sesuatu
warga – jiwa dan keperibadian sesuatu bangsa.
Oleh itu, Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV ini adalah istiadat
yang dianjurkan dengan tujuan untuk menziarahi semula adab dan adat
negeri beraja – rakyat bersultan, agar semangat kenegaraan dan semangat
ketatanegaraan dapat difahami, di apresiasi dan dihayati oleh rakyat
jelata.
Ia bukan istiadat semata-mata untuk batang tubuh individu seorang
Raja, tetapi ia adalah istiadat menabalkan raja yang bertakhta, lambang
kedaulatan negara – payung penyatuan warga; sementara Raja Pemerintah
pula turut diamanahkan dengan tanggung jawab sebagai pelindung dan
pemelihara (protector and custodian) kepada adab, adat dan budaya
bangsa. Raja yang ditabalkan itu adalah pemegang watak utama untuk
menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kembali sejarah
dan keagungan tamadun bangsanya, yang telah dibina melalui amalan
budaya yang penuh adab lagi beradat, mengandungi komponen-komponen
kekayaan sejarah, keagungan tamadun, kehalusan budi dan keindahan
bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang
berdisiplin, maju, moden lagi progresif. Ia menjadi amat relevan,
bertambah relevan malah semakin relevan ketika masyarakat kini sedang
berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj
budaya.
Kebelakangan ini, perbuatan mahu mengetepikan adab malah memijak adat
semakin kelihatan; perbuatan yang dipelopori oleh kalangan yang buta
huruf atau illiterate terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek
tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian,
(refugee minded culture); minda yang terapung-apung, minda yang tidak
ada akar budaya lalu melanggar adab dan menyisihkan adat; mengingatkan
Beta kepada pantun Melayu lama:
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi.
Terlalu mahal – terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina dan
tercatat dalam sejarah bangsa untuk boleh dibenarkan dirompak, dirampas,
dimusnahkan dan dinyahkan dari bumi bersejarah ini kerana perbuatan
yang dicetuskan oleh individu dan organisasi tertentu yang longgar
pegangan adatnya dan kosong fahaman adabnya.
Individu dan organisasi yang cerdiknya tidak boleh diikut dan
dungunya tidak boleh diajar tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan
orde baharu dan tatacara baharu;
berkelakuan sumbang tidak bertempat,
mempromosikan budaya yang sangat asing dan bercanggah dengan adat dan
adab bangsa yang selama hari ini amat mengutamakan sifat santun dan
hormat serta suasana rukun lagi harmoni. Bangsa perlu disedarkan untuk
menolak perbuatan pencerobohan budaya yang semakin melanggar sempadan
adab dan adat daripada terus berlaku. Bangsa tidak boleh dibenarkan
menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab – papa adat.
Istiadat pertabalan ini adalah peristiwa yang wajib diusahakan secara
bersama untuk membina jati diri rakyat daripada diresapi oleh
racun-racun yang mahu memusnahkan tamadun bangsa.
Beta mentakrifkan acara-acara yang Beta akan alami sepanjang istiadat
pertabalan ini adalah acara-acara yang dapat menyediakan ruang membawa
Beta mengenali lebih dekat – lebih rapat majoriti rakyat di negeri Perak
Darul Ridzuan, rakyat daripada pelbagai strata sosial dan ekonomi,
rakyat dari pelbagai agama, rakyat dari pelbagai kaum dan rakyat
daripada pelbagai lapisan usia. Istiadat pertabalan ini hendaklah
dijadikan platform untuk rakyat disatukan dalam semangat kenegerian dan
kenegaraan, menerima dan menghormati perbezaan, sama-sama berazam untuk
teguh bersatu dalam kepelbagaian, membina negara bangsa yang bertamadun
lagi dihormati.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan mengurniakan rahmat dan
kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini. Semoga Allah Subhanahu
Wata’ala senantiasa memberikan hidayat, petunjuk dan panduan membolehkan
Beta menyempurnakan amanah dengan adil lagi saksama.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment