Sunday, July 05, 2015
1MDB: PAS Sokong PM Saman WSJ Dan Sarawak Report
Shah Alam : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disaran mengemukakan
saman terhadap Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report bagi dan
membuat deklarasi harta dengan kadar segera.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata ini kerana
berdasarkan pendedahan yang dibuat kedua-dua pihak itu menimbulkan
pelbagai persoalan.
"Dalam satu kenyataan, pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
menegaskan bahawa tiada wang syarikat tersebut yang digunakan untuk
tujuan peribadi PM.
"Namun perlu dibezakan isu pengaliran wang ke akaun peribadi dan
penggunaan wang tersebut oleh PM. Apa yang pasti 1MDB masih tidak
membuat sebarang penafian khusus (categorical denial) bahawa wang
tersebut benar-benar masuk ke akaun Ambank PM seperti yang didakwa.
"Sekiranya itulah kesnya maka tiada cara lain untuk menjernihkan keadaan
kecuali dengan segera menyaman pihak WSJ dan Sarawak Report serta bagi
PM dan keluarganya membuat deklarasi harta," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Nasrudin mengingatkan bahawa sebelum ini banyak dokumen yang digunakan untuk memburukkan 1MDB adalah meragukan.
Beliau merujuk kes Xavier Justo yang ditahan pihak berkuasa Thailand
kerana didakwa memalsukan dokumen berkaitan transaksi 1MDB dan
Petrosaudi.
"Namun pendedahan WSJ secara khusus merujuk dokumen penyiasatan dari
penyiasat Malaysia. Maknanya sumber maklumat ini bukannya dari luar
negara tetapi dari dalam negara sendiri," ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk
Muhammad Khairun Aseh dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang
terhadap The Wall Street Journal (TWSJ) berhubung laporannya yang
mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.65 bilion) dimasukkan ke dalam
akaun peribadi beliau.
Beliau berkata, tindakan undang-undang diambil kerana laporan itu disifatkan sebagai fitnah jenayah.
Akhbar TWSJ semalam melaporkan, siasatan ke atas syarikat yang sarat
dibebani hutang, 1MDB mendapati berbilion ringgit disalurkan ke dalam
beberapa akaun, yang dipercayai akaun bank peribadi Najib.
Pendedahan laporan itu dikatakan sebagai penemuan oleh penyiasat
Malaysia, yang berdasarkan dokumen-dokumen dari satu siasatan kerajaan
yang diperoleh akhbar berkenaan dan laman web Sarawak Report.
TWSJ melaporkan, dokumen menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion)
dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan
akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.
Sarawak Report melaporkan, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada
SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang
mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan
(Diperbadankan) atau KWAP.
Najib dalam kenyataannya malam tadi menafikan pernah mengambil dana awam
untuk kepentingan peribadi dan menyifatkan tuduhan itu sebagai
sebahagian daripada kempen sabotaj politik terancang untuk menjatuhkan
seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment