Sunday, July 05, 2015
Dakwaan WSJ Terhadap PM: TPM Kata Siasatan Terperinci, Telus Dan Bebas Perlu Demi Kebenaran
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata SPRM,Bank Negara,PDRM dengan kerjasama
Jabatan Peguam Negara perlu segera siasat laporan Wall Street Journal
mengenai beberapa akaun peribadi milik Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
demi mencari kebenaran.
Dalam satu kenyataan petang Sabtu ,Timbalan Perdana Menteri kata tuduhan
ini amatlah berat kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti
Najib sebagai Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan.
Beliau menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang telah menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau.
BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN :
Saya berasa amat bimbang dengan pendedahan terkini Wall Street Journal
mengenai beberapa akaun peribadi milik YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun
Abd. Razak yang didakwa telah menerima sejumlah wang daripada beberapa
buah entiti yang dikatakan mempunyai hubungan dengan 1MDB.
Tuduhan ini amatlah berat kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan
integriti Dato' Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan.
Isu ini juga telah menarik perhatian rakyat serta media antarabangsa dan
pastinya menyentuh kepentingan awam.
Oleh itu, saya berpendirian bahawa pihak berkuasa penyiasatan seperti
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia
(BNM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Peguam
Negara perlu bertindak segera untuk menyiasat segala tuduhan yang dibuat
terhadap Dato' Seri Najib. Saya yakin siasatan mengenai perkara ini
akan dijalankan secara terperinci, telus dan bebas demi mencari
kebenaran.
Oleh kerana tuduhan ini adalah bersifat peribadi, maka adalah wajar bagi
Dato' Seri Najib untuk memberikan penjelasan yang meyakinkan atau
membuat penafian. Sehubungan itu, saya menyambut baik kenyataan Dato'
Seri Najib yang telah menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap
beliau. Sekiranya beliau yakin semua tuduhan itu adalah tidak benar dan
fitnah semata-mata, maka adalah wajar beliau mengambil tindakan
undang-undang ke atas pihak-pihak yang membuat tuduhan demi membersihkan
nama beliau dan mengembalikan kredibiliti kerajaan.
Sementara siasatan terperinci dijalankan, saya menyeru semua pihak
supaya bertenang. Saya pasti kebenaran akan muncul hasil siasatan yang
dijalankan oleh pihak berkuasa.
Saya berdoa mudah-mudahan di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, Allah s.w.t
akan memberikan kita segala tawfiq dan hidayah untuk menyelesaikan
segala kemelut yang berlaku dan mengurniakan kesejahteraan yang
berkekalan kepada rakyat dan negara kita.
TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment