Sunday, July 05, 2015
Ahmad Maslan Sedih Dengan Fitnah Dilemparkan Terhadapnya
Setiu, Terengganu : Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan pada Jumaat meluahkan
rasa sedih dan kecewa atas segala tohmahan jahat serta fitnah
terhadapnya yang kini menjadi viral di laman-laman sosial terutama dalam
isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Katanya pihak tidak bertanggungjawab turut memfitnah beliau dengan
membuka akaun palsu di laman sosial seperti Facebook (FB), Twitter dan
sebagainya konon kesemua akaun itu miliknya.
Ahmad berkata beliau tidak pernah memiliki akaun seperti yang tersebar
luas dengan memetik kenyataannya yang tidak lengkap sehingga menimbulkan
kekeliruan selain kemarahan orang ramai terhadapnya.
"Fitnah ini besar dosanya apatah lagi dalam bulan Ramadan. Mereka ini
terus buat fitnah, mereka buat akaun palsu, FB dan twitter saya, walhal
saya tak ada akaun-akaun dan menyatakan kenyataan-kenyataan itu (yang
sebenarnya palsu).
"Kadang-kadang kenyataan saya diambil satu patah daripada sejuta patah
perkataan. Sebagai contoh apabila saya pergi UiTM (Universiti Teknologi
Mara) dan bertemu lebih kurang 2,000 pelajar dan menjelaskan tentang GST
selama dua jam 45 minit.
"Yang dipusing media pembangkang saya cadangkan pelajar memasak sendiri
di asrama yang kemudiannya saya jadi sasaran dengan menyebut saya bodoh
dan sebagainya.
"Saya ada sebut kalau kita masak sendiri seperti di luar kampus,
bahan-bahan utama untuk kita masak itu kosong GST, adalah saya sebut
sebaris tapi telah dipusing bahawa saya suruh pelajar masak kat asrama,"
katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada
pemberita sebelum sesi dialog isu semasa bersama kepimpinan UMNO
Bahagian Setiu di sini yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO
Terengganu Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.
Ahmad berkata sempena kemuliaan bulan Ramadan ini selain menjelang
Syawal nanti, beliau sedia memaafkan pihak terbabit yang memutarbelitkan
kenyataannya sehingga menjadi viral.
"Tetapi, jangan hina arwah ayah dan ibu saya, itu jangan buat dan jangan
memfitnah saya, kalau saya tak sebut perkataan itu, janganlah
direka-reka kononnya saya sebut, itu fitnah namanya," katanya sambil
menggesa pihak tidak bertanggungjawab itu segera berhenti memfitnahnya.
Beliau yang juga anggota Parlimen Pontian turut tidak menafikan
tindakannya tampil memberi penerangan mengenai isu GST dan sebagainya
bagi mempertahankan kerajaan, namun malangnya telah menjadi mangsa
sasaran pembangkang.
Katanya pembangkang bertindak sedemikian setelah mereka kehilangan punca
setelah GST kini semakin stabil dan atas sebab itu mereka
memburuk-burukkan keperibadian seseorang dengan menabur fitnah.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment