Sunday, July 05, 2015

Beri Ruang Siasatan Dilakukan Untuk Mencari Kebenaran – Hisham

1) Saya berharap semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang andaian awal berhubung dakwaan beberapa media antarabangsa terhadap Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkaitan isu 1MDB.

2) Jangan bertindak melulu dan terus menghukum Perdana Menteri kerana dakwaan itu hanyalah berdasarkan laporan media yang belum disahkan kebenarannya. Jangan juga membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

3) Saya setuju ini adalah dakwaan serius yang telah menarik perhatian ramai dan perlu diambil tindakan segera. Oleh itu, seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga ingin tahu keadaan yang sebenar. Ruang harus diberikan kepada pihak berkuasa khususnya Pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan ini.

4) Saya yakin Pasukan Petugas Khas ini akan menjalankan siasatan dengan segera, adil dan tidak berpihak.

5) Justeru, sementara Pasukan Petugas Khas ini melakukan siasatan, kita seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan terus memberi sokongan kepada negara yang tercinta ini.

6) Pada masa yg sama, saya juga menggesa pihak-pihak yg membuat dakwaan tersebut agar tampil dengan bukti yang kukuh. Langkah ini penting kerana dakwaan ini bukan sahaja melibatkan maruah dan kredibiliti Perdana Menteri, malah imej kerajaan Malaysia di mata dunia.

7) YAB Perdana Menteri telah pun mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara ini. Saya menyokong penuh dan tetap bersama beliau dalam ketegasannya untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan tidak berasas.

http://www.pocketnews.com.my/wp-content/uploads/2014/03/Datuk-Seri-Hishammuddin-Tun-Hussein1.storyimage.jpg
YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Pertahanan Malaysia
Merangkap Naib Presiden UMNO

No comments:

Post a Comment