Sunday, July 05, 2015
PERKASA Gesa Rakyat Sokong Perdana Menteri
Tuduhan WSJ tidak berasas – Perkasa
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa semua pemimpin
dan rakyat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana perkara
itu melibatkan nama baik negara.
Menurut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, laporan Wall Street
Journal (WSJ) kononnya terdapat penyiasat telah mengesan hampir AS$700
juta (RM2.6 bilion) dideposit ke akaun dipercayai milik Najib adalah
satu tuduhan tidak berasas.
Sehubungan itu katanya, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin semalam yang menyarankan tindakan undang-undang diambil
ke atas WSJ bagi membersihkan nama baik Perdana Menteri dan negara,
wajar disokong semua pemimpin dan rakyat negara ini.
“Tindakan Muhyiddin yang telah mengeluarkan kenyataannya berhubung
isu tersebut wajar dipuji kerana itu adalah isyarat daripada pemimpin
nombor dua negara. Ia wajar diperluaskan oleh pemimpin lain di semua
peringkat dan juga rakyat tanpa mengira parti politik.
“Ini kerana pendakwaan ke atas WSJ boleh membuktikan bahawa Najib
tidak bersalah. Paling penting pihak tidak bertanggungjawab yang
menyebarkan fitnah itu juga boleh dikenal pasti dan didakwa di
mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ibrahim mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menafikan tuduhan WSJ
dengan menegaskan, beliau tidak pernah mengambil dana awam untuk
kepentingan peribadi baik daripada 1MDB, SRC International atau
mana-mana entiti.
Malah, menurut Najib, tuduhan terbaharu yang dilemparkan terhadap
beliau menerusi media asing itu adalah sebahagian daripada kempen
sabotaj yang dibuat secara terancang untuk menjatuhkan seorang Perdana
Menteri yang di- pilih secara demokratik.
Dalam pada itu, Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa,
Azrul Akmal Saharudin berkata, pihaknya telah membuat laporan polis
berhubung laporan media antarabangsa yang berpangkalan di Amerika
Syarikat berkenaan.
Beliau berkata, Perkasa memandang serius perkara tersebut kerana
sebarang tuduhan yang berniat jahat terutama datang daripada
anasir-anasir asing dikhuatiri mempunyai agenda sulit untuk
memporak-perandakan negara ini.
“Siasatan perlu dijalankan seadil-adilnya tanpa bersifat apologetik
seiring dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang mahu pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dengan telus
dan menyeluruh.
“Jika dakwaan mereka didapati tidak benar selepas siasatan dibuat,
ini adalah satu malapetaka buat rakyat yang mempercayainya. Ia bukan
sahaja telah mencalarkan kredibiliti negara di mata dunia malah
menunjukkan bahawa fitnah mudah bermaharajalela di negara ini,” katanya
dalam kenyataan.
Dipetik daripada sumber : Utusan Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment