Sunday, July 05, 2015
Hishammuddin Minta Masyarakat Tidak Bertindak Melulu
5 Julai 2015, Kuala Lumpur : Masyarakat digesa supaya tidak bertindak
melulu dan terus menghukum Datuk Seri Najib Tun Razak susulan dakwaan
media antarabangsa terhadap perdana menteri berhubung isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menarik
perhatian bahawa dakwaan yang dilemparkan itu hanya berdasarkan laporan
media yang belum disahkan kebenarannya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menggesa pihak yang membuat dakwaan itu supaya tampil dengan bukti kukuh.
“Ini penting kerana dakwaan ini bukan sahaja melibatkan maruah dan
kredibiliti perdana menteri, malah imej kerajaan Malaysia di mata
dunia,” kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.
Satu laporan The Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Najib menerima
sejumlah dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.
Najib dalam kenyataan pada Jumaat antara lain menegaskan beliau tidak
pernah mengambil dana 1MDB atau mana-mana entiti untuk kepentingan
peribadi, dan menyifatkan dakwaan palsu itu sebagai sabotaj politik
untuk menjatuhkannya.
Hishammuddin seterusnya berkata beliau yakin pasukan petugas khas
dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara
Malaysia dan polis akan melakukan siasatan dengan adil dan tidak
berpihak.
“Perdana menteri telah mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan
perkara ini. Saya menyokong penuh dan tetap bersama beliau dalam
ketegasannya untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang
membuat dakwaan tidak berasas,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment