Thursday, July 02, 2015
Isu Air: Rakyat Selangor Kian Terhimpit Ekoran Pergeseran Politik 'Tidak Matang'
2 Julai 2015, Shah Alam : Pergeseran politik 'tidak matang' antara kerajaan pusat dan
kerajaan negeri Selangor dalam isu Perjanjian Air Selangor akan terus
menghimpit pengguna di negeri itu sekiranya tidak diselesaikan dalam
masa terdekat. Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, perbalahan kedua-dua entiti
berkenaan dikhuatiri akan membebankan pengguna yang bergantung kepada
bekalan air terawat.
"Kita (PPIM) merasakan perkara ini tidak harus berlaku dan yang paling
penting ianya tidak harus menyusahkan pengguna. Tapi kadang-kadang kita
jadi serba salah, bila kita kata air tidak ada, ada pihak lain pula kata
ada air. Kami pun jadi macam pening tapi apa pun pengguna tidak harus
dibiarkan melalui satu fasa yang menyukarkan seperti di bulan Ramadan
dan Syawal kelak, mati kita", katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau turut mengulas satu langkah drastik perlu diambil kedua-dua pihak
bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2)
di Selangor tanpa melibatkan unsur politik.
"Saya harapkan semua mereka yang bersangkutan supaya duduk semeja dan
selesaikan perkara ini, ia tidak seharusnya menjadi taruhan kepada
politik kita. Sepatutnya perkara ini diselesaikan cara baik dan cari
kaedah bagaimana hendak menyelesaikan secara bijaksana", katanya lagi.
Katanya lagi, isu melibatkan keperluan asas rakyat di negeri berkenaan
juga, harus diselesaikan segera kerana rakyat Selangor mula muak dengan
agenda politik sesetengah pihak yang mementingkan diri tanpa
menghiraukan keperluan rakyat. "Kena selesai cara baik dalam masa
terdekat, kalau tidak rakyat akan pening dengan keadaan sebegini. Orang
politik seharusnya menunjukkan contoh yang baik tapi kalau pergaduhan
ini tidak berakhir, yang akan terima kesan adalah orang ramai".
Malah menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia
(AWER) S. Piarapakaran, kelewatan pembinaan LRAL2 turut mendatangkan
masalah kerana 34 Loji Rawatan Air di Selangor hanya menghasilkan 4.371
bilion liter air terawat sehari sedangkan keperluan semasa pengguna
mencecah 4.322 bilion liter sehari. "Dalam konteks beberapa cadangan
yang sediada hanya Langat dua yang separuh tergantung (status). Yang
kami lihat Langat 2 adalah satu penyelesaian dan pada masa sama kami
ingin tegaskan isu kawasan tadahan air bagi projek ini juga perlu
diselesaikan dan diwartakan", katanya. Tegas beliau, bukan hanya
masyarakat yang menerima kesan, pihak industri perkilangan juga turut
menerima kesan sama terutama industri makanan dan pemprosesan.
Industri sarung tangan saya rasa banyak mengutarakan aduan mengenai isu
ini. Jadi kalau tutup, mana penduduk nak cari pendapatan.
Kalau dari segi penyelesaian, kalau saya menteri tenaga, teknologi hijau
dan air, hari ini juga saya laksanakan Seksyen 114 Akta Industri
Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006), saya akan suruh SPAN (Suruhanjaya
Pengurusan Air Negara) menguruskan industri sehingga pembinaan siap",
ujar beliau. Penduduk Selangor di Hulu Langat dan Cheras terus diuji
dengan masalah gangguan air meskipun dalam bulan Ramadan. Kebanyakan
penduduk di kawasan yang terbabit gangguan bekalan air terpaksa
menumpang membasuh di rumah saudara dan rakan taulan. Ada juga
pendudukk terpaksa melupakan hasrat untuk memasak makanan berbuka puasa
dan sahur demi menjimatkan penggunaan air. Menurut kerajaann Selangor,
gangguan bekalan air yang berlaku di sesetengah kawasan pada masa ini
disebabkan kekurangan air terawat serta kadar air tidak berhasil (NRW)
yang masih tinggi selain gangguan operasi di Loji Langat.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment