Sunday, July 05, 2015
Laporan Berbaur Fitnah Jejas Kredibiliti Negara Di Mata Dunia – Khairy
6 Julai 2015, Tampin : Laporan berbaur fitnah terhadap kepimpinan negara
sudah pasti akan menjejaskan kredibiliti negara di mata dunia serta
memudaratkan ekonomi negara, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata laporan yang membuat dakwaan tidak berasas terhadap
pemimpin negara mesti mempunyai bukti dan kesahihan dan sekiranya tidak
maka ia akan memberi kesan kepada politik tanah air.
Beliau melahirkan kebimbangan dengan penyebaran laporan berbaur
fitnah terhadap kepimpinan negara dengan rakyat khususnya golongan muda
tidak melakukan usaha untuk menyemak kesahihan sesuatu berita tersebut.
“Golongan orang muda tidak membuat usul periksa tentang sesuatu
laporan berbaur fitnah dan hanya mengajukan sahaja apa yang mereka
terima dalam media sosial kepada pihak ketiga tanpa memikirkan sama ada
berita yang mereka dapat itu betul atau tidak.
“Kalau
tidak menilai sesuatu berita itu secara rasional, kita tidak boleh
menjadi sebuah masyarakat yang matang,” katanya kepada pemberita pada
majlis Ihya Ramadan Pemuda UMNO 2015 di Masjid As Syakirin, Gemencheh
dekat sini, malam Ahad.
Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata sekiranya berlaku
perbuatan memfitnah pemimpin negara, pelabur asing akan rasa kurang
yakin dengan Malaysia akibat berita-berita yang tidak tahu kesahihannya.
“Jadi, saya rasa kita mesti bertindak cepat di mana kalau sekiranya tuduhan itu dibuat, kita minta supaya dikemukakan bukti.
“Kalau tidak, kita tidak ada pilihan lain, kita terpaksa saman
terhadap pihak-pihak yang berkenaan supaya masyarakat umum tahu kita
tidak akan toleransi sebarang usaha untuk memfitnah kerajaan, kepimpinan
kerajaan dan juga kepimpinan negara kita,” katanya.
Pada majlis itu, Khairy menyampaikan sumbangan kepada 150 orang anak-anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment