Sunday, July 05, 2015

Bekas Menteri Samakan Nasib Najib Seperti Tunku Abdul Rahman

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyifatkan situasi yang ditempuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini, sama seperti situasi yang pernah dialami Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Zainuddin yang lebih dikenali dengan nama penanya Zam berkata, kedua-dua pemimpin tersebut sama-sama menerima tentangan dan perbezaan kedua pemimpin terbabit adalah tentangan secara terang-terangan dan tentangan secara diam.


Zam berkata, Tunku dahulu menerima tentangan secara diam daripada pihak keselamatan, pegawai tinggi kerajaan dan cerdik pandai yang menggesa beliau untuk berundur berbanding Najib yang kini menerima tentangan secara terang-terangan.


Menurut Zam, dengan tentangan yang diterima oleh perdana menteri pertama itu menyebabkan Tunku menyerah kalah dan berundur walaupun beliau masih mempunyai sokongan yang kuat dibelakangnya.


"Langkah pemulihan yang dijalankannya menerusi reformasi lebih mempamerkan liberalisme, tolak ansur, kompromi dan sikap tidak apa iaitu kriteria yang menyebabkan akhirnya Perdana Menteri Malaysia Pertama Tunku Abdul Rahman terpaksa mengundurkan diri dan memberikan laluan kepada Tun Abdul Razak bapa kepada Najib.


"Tunku sebagai seorang yang demokratik sanggup menerima realiti sekalipun pemimpin parti dan kerajaan di sekelilingnya masih kuat menyokongnya. Beliau menyingkirkan orang yang tidak disenanginya.


"Namun menciumi api sekam yang membara, ledakan sentimen Melayu kehilangan maruah dan kehilangan keyakinan, beliau akhirnya menyerah kalah," tulis Zam menerusi entri terbaru di laman blog miliknya.


Tambah Zam, nasib yang diterima Najib kini sama seperti Tunku apabila, Najib gagal mempengaruhi sokongan orang Melayu terhadap Umno, malah Najib turut gagal mendapat sokongan kaum Cina walaupun beberapa pembaharuan untuk memikat pengundi Cina dilakukan.


Selain itu, kredibiliti Najib sebagai perdana menteri juga menjadi punca Umno dan Barisan Nasional (BN) hilang sokongan dan sekaligus menyebabkan BN kehilangan kuasa dua pertiga pada pilihan raya umum lalu.


"Selain dari penghapusan ISA yang ternyata gagal mendapat sokongan orang Cina, beliau mahu menghapuskan Akta Hasutan yang amat dibimbangi oleh pihak polis dan juga orang Melayu.


"Jika difikirkan dengan waras tidak perlu ISA dihapusakan jika hendak digantikan dengan akta yang mempunyai kesan bangkangan yang sama. Ini hanya menampakan dasar yang flip flop.


"Kehilangan kredibiliti Najib bukanlah hanya kerana 1MDB tetapi dari rangkaian berbagai fakta yang bertali arus dari penghapusan ISA, percubaannya untuk menghapuskan Akta Hasutan, jawapan kepada penggunaan jet kerajaan yang tidaak menyakinkan yang tidak membawanya pulang ketika bencana banjir besar di Kelantan, penapiaan keluarganya tentang harta pusaka, GST, kelemahan dasar luar negara, tolak ansur dengan Singapura dan sebagainya," tulisnya.


Zam turut mendakwa bencana yang menimpa negara seperti banjir besar, gempa bumi yang melanda merupakan bala dari Allah atas tindakan yang dilakukan Najib selama mentadbir negara.


Katanya, Allah menurunkan bala tersebut sebagai petunjuk supaya kita sebagai hambanya insaf dan kembali kepada jalan Nya.


"Ini semua pentunjuk dari Allah kepada kepimpinan negara dan juga kepada rakyat jika kita mahu insaf dan sedar," tulisnya.


Pada pandangan Andy, Najib menerima tentangan terbuka ini hanya disebabkan oleh kemajuan teknologi yang tidak mempunyai batasnya berbanding pada zaman perdana menteri pertama dan perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir.


Andy percaya, jika pada zaman Tunku dan Mahathir telah mempunyai kemajuan teknologi seperti hari ini, Andy percaya pemimpin tersebut juga mempunyai tentangan secara terbuka, malah menerima lebih dasyat dari tentangan ini.


Bagaimanapun, kita harus memuji tindakan Najib yang berjaya mengawal dan menangkis serangan yang tidak berasas dilemparkan kepadanya dan seluruh ahli keluarga oleh pihak yang mementingkan politik peribadi.


Mengulas mengenai bencana yang melanda negara, itu merupakan ujian Allah kepada setiap hambanya supaya menginsafi diri dan kembali mengingati-Nya. Ianya bukanlah bala yang dilakukan oleh perdana menteri seperti yang dikatakan oleh bekas menteri penerangan tersebut.

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment