Thursday, July 02, 2015

Nazri Balas Kenyataan TMJ.. "Saya bukan Tong Kosong.., jangan campur hal politik"


Datuk Seri Nazri Aziz menolak pandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ) bahawa beliau seorang menteri yang tidak cerdik dengan merujuknya sebagai “tong kosong”.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, pandangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu tidak benar kerana beliau layak sebagai pengamal undang-undang, malahan ahli Lincoln’s Inn di London.

“Tentu sekali ia tidak benar, saya seorang barrister perundangan,” katanya kepada The Star Online pada Rabu.

Beliau juga berkata, tiga perdana menteri pertama negara iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn juga adalah barrister.

“Mereka semuanya bukannya tong kosong,” katanya.

Menerusi temubual dengan sebuah portal berita, Tunku Ismail berkata, Nazri tidak layak menjadi menteri dan menganggapnya sebagai “tong kosong”.

Kata Nazri, jika beliau tidak layak menjadi menteri, TMJ seharusnya menyalahkan tiga perdana menteri – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantiknya.

“Jika saya tidak layak sebagai menteri, salahkan tiga individu ini,” katanya.

Nazri juga menafikan beliau tidak sensitif kepada kerabat diraja Johor sambil menyifatkan mereka berada pada kedudukan sekarang kerana Umno.

“Mengikut Perlembagaan Umno, kita mendukung hak Melayu termasuk kerabat diraja. Mereka sepatutnya mengambil berat dan menjaga Umno,” katanya.

Katanya lagi, masa depannya tidak ditentukan oleh Tunku Ismail, tetapi rakyat yang memilihnya.

“Mereka tidak sepatutnya campur tangan hal politik,” katanya yang turut mengucapkan selamat hari lahir kepada TMJ dan berharap beliau gembira mendapat hadiah jet peribadi daripada ayahandanya, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. 

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment