Tuesday, July 28, 2015

PANAS! Pemimpin PAS Anggap Muhyidin Hanya Main WAYANG Tegur Najib

Dibawah adalah kenyataan dari Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man susulan dari kenyataan Timbalan Perdana Menteri, TS Muhyidin Yasin yang mengkritik pentadbiran kerajaan didalam menangani isu 1MDB semalam.

Tuan Ibrahim mempersoalkan sama ada "teguran" Muhyidin itu adalah datang dari suara majoriti kabinet ataupun dari parti Barisan Nasional. Beliau juga turut mempersoalkan sama ada Muhyidin mampu membuat keputusan mengubah apa yang telah dipinda oleh kerajaan sebelum ini.

Menurut Tuan Ibrahim, jika Muhyidin hanya sekadar bersuara tetapi tidak mampu untuk mengubah apa-apa, itu jelas menunjukkan Muhyidin hanya bermain wayang sahaja.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

------------------------------------------------------------------------------------------


Luahan kebimbangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemelut 1MDB dan juga tuduhan yang menyelungkupi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat dialu-alukan.

Apakah suara Muhyiddin ini mewakili suara majoriti di dalam Kabinet ataupun Barisan Nasional (BN)? Apakah Muhyiddin akan terus mendesak sehingga Najib sekurang-kurangnya bercuti sehingga siasatan pasukan petugas khas isu 1MDB selesai atau mengasak Najib untuk disoal siat?

Pada 6 Mac yang lalu, Muhyiddin memberikan amaran kerajaan akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia yang diperoleh pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.

Namun selepas itu Muhyiddin memilih untuk mendiamkan diri apabila Lembaga Tabung Haji digunakan untuk membeli tanah TRX 1MDB yang sehingga kini masih tidak dapat dijual kepada pembeli lain meskipun Najib dan Pengerusi LTH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ramai pembeli yang berminat memiliki tanah TRX.

Apakah Muhyiddin akan mendiamkan diri sekali lagi selepas bersuara lantang seperti 5 bulan yang lalu?

Keseriusan Muhyiddin dalam isu 1MDB ini boleh diukur melalui kesanggupan beliau menuntut agar Kabinet membatalkan penggantungan permit The Edge dan juga mendedahkan laporan interim 1MDB yang dilakukan Ketua Audit Negara kepada umum.

Jika 2 perkara ini tidak dapat diusahakan Muhyiddin, anggaplah luahan Muhyiddin semalam hanyalah sekadar wayang bagi mengurangkan kerosakan imej terhadap Umno. – 27 Julai, 2015.

Timbalan Presiden PAS
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

No comments:

Post a Comment