Thursday, July 02, 2015
Pengamal Media Perlu Adil
Perbezaan Pendapat Boleh Asalkan Berasas Kepada Fakta – PM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perbezaan
pendapat tidak menjadi masalah asalkan ia berasaskan kepada fakta yang
benar dan bersifat konstruktif.
Bagaimanapun, beliau berkata ia menjadi masalah apabila ada pihak
menyebarkan pendapat atau berita yang boleh menimbulkan keraguan
sehingga mengurangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
“Selepas disemak rupa-rupanya (ada) pendapat itu tidak berasas atau
meleset…Ini cabaran dalam persekitaran baharu terutama kepada pengamal
media sebab mereka mengejar berita.
“Mereka mahu menjadi yang pertama dalam (menyiarkan) berita sebab
(sesetengahnya) nak bentuk persepsi, bukan nak tentukan ketepatan
berita, ia (ketepatan) seolah-olah soal kedua. Bila terbentuk persepsi
nak kikis amat sukar sekali,” katanya.
Najib berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini Khamis malam.
Najib mengambil contoh pilihan raya umum lepas kononnya 40,000
pengundi Bangladesh menunggu untuk mengundi Barisan Nasional (BN)
sehingga ada yang percaya dengan penipuan itu.
“Kalau nak bawa seramai itu perlukan 1,000 pesawat jumbo, tapi tiada
orang tanya sehingga dah jadi viral dan menjejaskan nama baik BN,” kata
perdana menteri.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi
Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Bernama Datuk
Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Perdana menteri berkata penyebaran berita tidak berasas turut
melibatkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kononnya
menggunakan wang Tabung Haji untuk menyelamatkan syarikat itu.
“Cerita itu sampai ke bawah sehingga pendeposit Tabung Haji iaitu
makcik dan pakcik di kampung semua marah. Ia turut diviralkan,” katanya.
Najib seterusnya berkata kebenaran akhirnya muncul sehingga ada
anggota Parlimen pembangkang di Parlimen menggesa Tabung Haji supaya
tidak menjual tanah yang dikaitkan dengan 1MDB kerana langkah itu boleh
menjana untung lebih besar, namun sekali lagi kerosakan telah berlaku.
Sehubungan itu, Najib meminta semua pihak sama ada ahli politik,
pihak kerajaan dan pengamal media supaya bertanggungjawab terhadap
setiap penyebaran pendapat dan berita.
“Dalam politik kita mencari kebenaran jadi saya pun nak pihak media
mendapatkan cerita sebenarnya. Berlaku adil, itu sahaja yang saya minta.
“Jika kita berpandu kepada kebenaran, Insya-Allah kita akan selamat dunia dan akhirat,” katanya.
Terdahulu, perdana menteri meluangkan masa melawat bahagian editorial
majalah dan Kedai Buku Karangkraf untuk melihat terbitan terbaharu
kumpulan media itu.
Sejurus selepas berbuka puasa, Najib dan tetamu lain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih di Masjid Karangkraf.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment