Sunday, July 05, 2015

Penyebar Fitnah Tidak Berakhlak Islam – Yadim

MUAR : Umat Islam yang menyebarkan fitnah tentang seseorang individu termasuk pemimpin negara adalah tidak berakhlak dan tidak mengamalkan prinsip Islam, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata amat menyedihkan pada bulan Ramadan yang mulia bersempena turunnya Al-Quran, ada segelintir umat Islam yang sanggup menabur fitnah tanpa memikirkan dosa dan pahala sama sekali.
asyraf-wajdi-dusuki-pengerusi-yadim-malaysia
“Kalau kita kata kita sebagai pejuang Islam, ia perlu seiring dengan akhlak Islam. Yang penting kita perlu memastikan keamanan dan kestabilan negara terus berkekalan dan bukannya mengundang masalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Program Iktikaf Ramadan Sahabat Yadim di Masjid Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim.

Asyraf Wajdi berkata dua prinsip Islam yang perlu diamalkan terutama pada zaman fitnah alam siber ini ialah perlu bersangka baik dalam setiap perbuatan dan menyelidiki setiap maklumat itu betul atau sebaliknya.

“Kalau kita pegang dengan kuat prinsip Islam ini InsyaAllah keamanan, kestabilan dan ketenteraman akan dikecapi seluruh rakyat dalam negara ini,” katanya.

Beliau menasihati umat Islam agar perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar dengan perlu menghayati apa yang terkandung di dalam Al-Quran seterusnya mempunyai akhlak seperti yang digariskan dalam kitab suci itu.

Menyentuh mengenai program itu, Asyraf Wajdi berkata ia adalah program kali pertama dianjurkan Yadim yang mengumpulkan pelajar universiti di seluruh Negara untuk lebih menghayati sinar Islam.

“Ini untuk menggalakkan pelajar universiti untuk manfaatkan bulan Ramadan dengan beriktikaf di masjid seterusnya dapat membimbing adik-adik yang masih kecil untuk turut sama menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata program yang diadakan di seluruh negara itu akan berakhir pada minggu hadapan.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment