Sunday, July 05, 2015
Saya Tidak Akan Khianati Rakyat – Najib
5 Julai 2015, Semenyih : Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa media
antarabangsa menyeleweng hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) berjanji
tidak akan mengkhianati rakyat Malaysia atau merampas harta mereka.
Perdana Menteri berkata, walaupun menjadi mangsa media sosial, beliau
tidak akan membenarkan situasi itu menggugat atau menjatuhkan Umno dan
Barisan Nasional.
“Saya tidak akan khianati rakyat, itu janji saya.
“Saya menjadi mangsa serangan mereka bertubi-tubi kebelakangan ini kononnya saya songlap duit yang besar dalam akaun peribadi.
“Sebab itu pada sidang media tadi saya kata akan rujuk dengan peguam
untuk menentukan tindakan susulan, tindakan undang-undang sama ada di
dalam atau luar negara.
“Kita tak boleh benarkan pihak luar menggugat atau menjatuhkan UMNO
dan kepimpinan Barisan Nasional. Sebab kita dipilih oleh rakyat dan
sistem demokrasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Rakyat
Negeri Selangor bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching di
sini, Ahad.
Pada Jumaat lalu, Wall Street Journal (WSJ)menyiarkan artikel yang
memetik ‘penyiasat yang tidak dinamakan’ mendakwa dana hampir AS$700
juta (RM2.6 bilion) milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi
Perdana Menteri.
1MDB menegaskan tiada dana dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Najib pada masa sama turut menafikan pemindahan sebarang dana yang dikaitkan dengan beliau.
Sehubungan itu Najib berkata, sekiranya terdapat sebarang isu yang
disensasikan banyak pihak, ia sekadar mainan dari segi persepsi.
Ini kerana katanya, hari ini pihak tertentu menggunakan media sosial
bukan untuk mencari kebenaran tetapi hendak membawa berita terkini tidak
kira sama ada ia tepat, palsu, separuh tepat atau separuh palsu.
“Matlamatnya bukan untuk mendedahkan kebenaran tetapi mengubah
persepsi rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin,” katanya sambil menambah
tindakan ini bagaimanapun tidak membina akal rakyat supaya lebih matang
dengan pengisian fakta yang benar.
Mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Najib yang juga
Menteri Kewangan, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings
berpendapat isu itu tidak menjejaskan pengurusan ekonomi negara.
Perdana Menteri menjelaskan badan penarafan antarabangsa itu ke
Malaysia baru-baru ini dan mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang
Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan Bank Negara serta meninjau
isu-isu semasa seperti 1MDB.
“Ia (Fitch) turun tengok TRX (Tun Razak Exchange), Bandar Malaysia,
isu yang digembar-gemburkan. Tetapi ia tidak menjejaskan penilaian
mereka. Mereka tetap katakan isu tersebut (1MDB) tidak mendatangkan
risiko kewangan Malaysia.
“Mereka yakin dengan pelan pemulihan yang dibentangkan 1MDB. Sebab
itulah ia memberi markah lebih baik kepada Malaysia yakni dari negatif
kepada stabil,” katanya.
Pada Rabu lalu, Fitch Ratings dalam satu kenyataan berkata, semakan
unjuran dari negatif kepada stabil itu dibuat antara lain berikutan
kedudukan fiskal negara yang semakin baik, pertumbuhan ekonomi yang
menggalakkan; defisit yang dijangka terus menurun serta nisbah kecairan
luar masih melebihi garis penengah dan dijangka meningkat dalam tempoh
kajian.
Dipetik daripada sumber : mstar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment