Thursday, July 02, 2015
Perbezaan Pendapat Boleh Asalkan Berasas Kepada Fakta – PM
2 Julai 2015, Shah Alam : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak menegaskan perbezaan pendapat tidak menjadi masalah asalkan ia
berasaskan kepada fakta yang benar dan bersifat konstruktif.
Bagaimanapun, beliau berkata ia menjadi masalah apabila ada pihak
menyebarkan pendapat atau berita yang boleh menimbulkan keraguan
sehingga mengurangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
“Selepas disemak rupa-rupanya (ada) pendapat itu tidak berasas
atau meleset…Ini cabaran dalam persekitaran baharu terutama kepada
pengamal media sebab mereka mengejar berita.
“Mereka mahu menjadi yang pertama dalam (menyiarkan) berita
sebab (sesetengahnya) nak bentuk persepsi, bukan nak tentukan ketepatan
berita, ia (ketepatan) seolah-olah soal kedua. Bila terbentuk persepsi
nak kikis amat sukar sekali,” katanya.
Najib berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini malam ini ini.
Najib mengambil contoh pilihan raya umum lepas kononnya 40,000
pengundi Bangladesh menunggu untuk mengundi Barisan Nasional (BN)
sehingga ada yang percaya dengan penipuan itu.
“Kalau nak bawa seramai itu perlukan 1,000 pesawat jumbo, tapi tiada
orang tanya sehingga dah jadi viral dan menjejaskan nama baik BN,” kata
perdana menteri.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi
Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Bernama Datuk
Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Perdana menteri berkata penyebaran berita tidak berasas turut
melibatkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kononnya
menggunakan wang Tabung Haji untuk menyelamatkan syarikat itu.
“Cerita itu sampai ke bawah sehingga pendeposit Tabung Haji iaitu makcik dan pakcik di kampung semua marah.
Najib seterusnya berkata kebenaran akhirnya muncul sehingga ada
anggota Parlimen pembangkang di Parlimen menggesa Tabung Haji supaya
tidak menjual tanah yang dikaitkan dengan 1MDB kerana langkah itu boleh
menjana untung lebih besar, namun sekali lagi kerosakan telah berlaku.
Sehubungan itu, Najib meminta semua pihak sama ada ahli politik,
pihak kerajaan dan pengamal media supaya bertanggungjawab terhadap
setiap penyebaran pendapat dan berita.
“Dalam politik kita mencari kebenaran jadi saya pun nak pihak
media mendapatkan cerita sebenarnya. Berlaku adil, itu sahaja yang saya
minta.
“Jika kita berpandu kepada kebenaran, Insya-Allah kita akan selamat dunia dan akhirat,” katanya.
Terdahulu, perdana menteri meluangkan masa melawat bahagian
editorial majalah dan Kedai Buku Karangkraf untuk melihat terbitan
terbaharu kumpulan media itu.
Sejurus selepas berbuka puasa, Najib dan tetamu lain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih di Masjid Karangkraf.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment