Friday, July 03, 2015
Pihak Yang Menuduh Tidak Pernah Kemukakan Apa Jua Bukti – Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tuduhan
terbaharu terhadap dirinya adalah sebahagian daripada kempen sabotaj
politik terancang untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih
secara demokratik.
Beliau menjelaskan, pihak yang membuat tuduhan itu tidak pernah
memberikan apa jua bukti selain menggunakan dokumen yang didakwa bocor
dan penyiasat yang tidak dinamakan.
Katanya, tiada satu pun sumber dokumen itu pernah ditunjukkan malah
dokumen berkenaan tidak pernah diberikan untuk pengesahan oleh pihak
berkuasa.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah mengambil dana awam
untuk kepentingan peribadi sebagaimana yang didakwa oleh musuh politik.
“Sama ada daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC
International atau mana-mana entiti sebagaimana yang telah disahkan oleh
syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Perdana Menteri berkata, sebagaimana diketahui umum, beberapa dokumen
yang menjadi asas tuduhan itu dilaporkan telah diubah suai malah
individu yang membocorkannya juga sedang disiasat oleh pihak berkuasa
luar negara.
Katanya, perkara itu secara jelas menunjukkan tahap kebolehpercayaan
dokumen tersebut dan pihak yang telah menggunakannya untuk merosakkan
kerajaan dan negara ini.
“Pihak yang terus melakukan serangan ini perlu bersedia untuk berhadapan dengan akibat daripada tindakan mereka.
“Taktik kotor ini – sesetengahnya taktik jenayah – untuk
menggulingkan kerajaan akan gagal dan mereka akan berhadapan dengan
kuasa penuh undang-undang,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, adalah memalukan apabila
serangan palsu itu didorong oleh kepentingan peribadi sewaktu Malaysia
mempunyai peluang yang unik sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini
selain status negara maju yang bakal dicapai dalam masa beberapa tahun
lagi.
“Saya akan terus fokus kepada kerja untuk membangunkan negara ini demi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, serangan demi serangan tidak berasas
terhadap dirinya dan keluarga bermula apabila beliau enggan melaksanakan
permintaan peribadi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jelasnya, keengganan itu kerana beliau tidak percaya terhadap kewajaran untuk Malaysia ditadbir oleh proksi.
“Dalam tuduhan terbaharu kononnya saya mengambil dana awam untuk
kepentingan peribadi, saya percaya Tun, yang bekerjasama dengan warga
asing termasuk dengan blog serangan politik yang hilang kredibilitinya,
Sarawak Report berada di sebalik penipuan terkini,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment