Monday, July 06, 2015

Selangor Perlu Utamakan Rakyat Selesaikan Isu Air

Kerajaan negeri Selangor diminta agar mengetepikan perbezaan politik untuk menyelesaikan isu penstrukturan air di negeri itu yang masih tiada kesudahan. Demikian disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Menurut beliau, perkara tersebut perlu kerana Kerajaan Persekutuan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat serta menjamin masa depan negeri Selangor dalam menyelesaikan isu air yang berlaku di negeri berkenaan.
  
"Tolak soal politik dan mengutamakan kepentingan rakyat yang patut kita amalkan," katanya, sambil menambah Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali ada berjumpa dengan beliau baru-baru ini untuk menyelesaikan perkara tersebut.
  
Najib ketika berucap pada Majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor di Masjid Bandar Rinching di Semenyih berkata, sebanyak RM 2 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan semasa Perjanjian Persefahaman (MoU) pada Februari lalu bagi menyelesaikan projek air dari Pahang hingga Selangor termasuk loji air di Hulu Langat.

Bagaimanapun, beliau berkata, perjanjian itu telah dibatalkan malah kerajaan negeri menimbulkan cadangan atau alternatif lain seperti menggali air bawah tanah dan sebagainya.

"Akhirnya, apa sudah jadi pada air bawah tanah yang diwar-warkan satu ketika dahulu. Tanyalah penduduk negeri Selangor. Di Bandar Kesuma, mereka merungut sembilan hari tidak ada air dan kawasan ini (Bandar Rinching) pula tiga empat hari tiada air.
  
"Apa guna ada kemajuan bandar atau banglo tetapi bekalan air terputus dan tidak terjamin," katanya secara sinis.
  
Perdana Menteri menjelaskan, beberapa cadangan yang diusulkan oleh kerajaan pusat sebelum ini terbantut akibat kesan daripada perbezaan politik, sambil memuji tindakan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang membangkitkan isu air di Parlimen.
  
"Saya berharap dalam masa terdekat perjanjian (kerajaan negeri) dengan kerajaan pusat dapat ditandatangani... kami kerugian masa berharga."
  
"Tetapi apakan daya, kita memerlukan persetujuan kerajaan negeri dan akhirnya mereka bersetuju untuk menerima cadangan kita dan projek ini, saya berharap dapat menjamin masa depan negeri Selangor," jelas Najib.
  
Tambah Najib, oleh kerana isu air masih tergantung, kebanyakan pelabur tidak dapat meneruskan projek perumahan yang sedang dijalankan kerana tiada jaminan bekalan air di negeri Selangor.

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment