Monday, July 06, 2015

Wan Azizah Mahu Jumpa Pemimpin UMNO/BN Yang Tak Percaya Pada Najib.


Menerusi satu kenyataan semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memanggil kesemua ahli Parlimen sama ada daripada parti pembangkang mahupun Umno BN untuk mengadakan satu pertemuan khas bagi membincangkan keadaan politik terkini dan hala tuju negara.

Menurutnya, pertemuan yang diputuskan pada Selasa depan jam 12 tengah hari di bangunan Parlimen itu bertujuan menzahirkan kebolehpercayaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan pendedahan Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

"Saya berharap melalui pertemuan ini, ahli-ahli Parlimen dari semua parti serta NGO dapat menzahirkan satu keputusan yang melambangkan keprihatinan rakyat seluruh negara kepada kebolehpercayaan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

WSJ menerusi laporannya Jumaat lalu mendedahkan penemuan mengejutkan tentang penyiasatan yang mengaitkan pengaliran dana hampir AS$700 juta dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun persendirian Perdana Menteri melalui proksi.

Namun, Perdana Menteri menafikan dan menolak dakwaan tidak berasas itu sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang kerajaan untuk kepentingan peribadi.

Wan Azizah yang juga Presiden PKR itu mendakwa, perkara tersebut telah menjadi kebimbangan rakyat. Justeru parti-parti pembangkang dan Umno-BN tidak seharusnya berdiam diri.

"Walaupun kita menanti laporan penuh mengenai kes ini dari semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab, namun kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan kepentingan rakyat dan negara terjamin," katanya lagi. 

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment