Sunday, July 05, 2015
Tidak Masuk Akal Tuduhan Ke Atas Najib Kata Mursyidul Am PAS
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menggesa semua pihak agar menyiasat
terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan berhubung dana yang kononnya
dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut beliau, jika dilihat dari segi logik, seseorang itu tidak akan memindahkan wang awam ke akaun peribadinya.
"Saya rasa kena siasat terlebih dahulu sama ada benar atau tidak
(tuduhan). Kerana mengikut logik akal, pada saya jika seseorang itu
hendak pindahkan wang awam ke akaun peribadi, biasanya dia tidak akan
berbuat demikian.
"Dia akan pindahkannya ke akaun lain ataupun akaun sulit," katanya
ketika ditemui pemberita pada majlis iftar amal Darul Fuqaha' di sebuah
hotel di sini pada Sabtu.
Ujarnya, sebelum ini telah timbul banyak isu dalam akhbar yang pada
mulanya dilihat sebagai serius dan mempunyai bukti, namun setelah dinafi
dan disiasat didapati banyak daripada berita tersebut tidak benar.
Bagaimanapun, Dr Haron berharap supaya ada penafian beserta bukti yang
mengatakan perkara ini tidak berlaku kerana menurutnya, jika ia berlaku,
ia tidak boleh dipandang ringan.
"Apa pun jika benar, maka malang bagi masyarakat Malaysia di kala
ekonomi Malaysia di ambang keresahan, di waktu ringgit menjunam, di
waktu perlu pengukuhan ekonomi negara tiba-tiba keluar cerita seperti
ini.
"Ia boleh menyebabkan pelabur rasa tidak senang dan orang ramai mula kurang keyakinan kepada kepimpinan negara.
"Saya harap tidak berlaku, harap ada penafian dengan bukti mengatakan ia
tidak berlaku. Kalau berlaku juga, amat malang dan tidak boleh
dipandang ringan," katanya.
Pada Jumaat, Najib telah menyangkal laporan Wall Street Journal (WSJ)
yang mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam
akaun peribadinya.
Dalam laporan itu, WSJ mendakwa dokumen menunjukkan dana tersebut
dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi
Perdana Menteri dalam beberapa deposit berasingan.
Sarawak Report pula pada Jumaat mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun
Najib daripada SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat milik
Kementerian Kewangan.
Kedua-dua WSJ dan Sarawak Report memetik dokumen yang kononnya diperoleh
daripada siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan di akaun
Facebook menyelar tindakan beberapa individu yang "menjejaskan keyakinan
terhadap ekonomi, memburukkan nama baik kerajaan dan menjatuhkan
perdana menteri yang dipilih secara demokrasi."
Menurut kenyataan itu, dakwaan terbaharu ini merupakan sabotaj politik
berterusan bertujuan memperdaya pihak media dan orang ramai dengan
menggunakan dokumen yang telah dipinda.
Sehubungan itu, pihak media digesa memastikan kesahihan dokumen dengan merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk pengesahan.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment