Monday, July 27, 2015
YDP PAS Kota Bharu Datuk Wan Rahim Serah Tugas Kepada Timbalannya
PETALING JAYA : Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul
Rahim Wan Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan tugasnya
kepada timbalannya, Dr Rosli Allani Abdul Kadir.
Tindakan tersebut dilihat sebagai permulaan kepada langkahnya untuk meninggalkan PAS dan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).
"Saya kini bersama Harapan Baru. Jadi untuk berlaku adil kepada PAS dan
GHB, saya buat keputusan memberi mandat kepada timbalan saya untuk
menjalankan tugas-tugas parti.
"Jadi selepas ini saya tidak akan memanggil atau menghadiri mesyuarat
PAS Kawasan Kota Bharu lagi. Semua tugas akan dipikul oleh Dr Rosli
Allani," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Menjelaskan mengenai status terkininya dalam PAS, Wan Abdul Rahim
menegaskan bahawa beliau tidak melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua
PAS Kawasan Kota Bharu.
"Saya tak lepaskan jawatan...saya hanya mandatkan tugas saya kepada timbalan. Saya juga masih ahli PAS.
"Kedudukan sebagai YDP masih sah sehingga 2017. Keputusan saya ini juga
diterima dan dihormati oleh AJK PAS Kawasan Kota Bharu," katanya.
Diminta mengulas kemungkinan tindakannya itu merupakan isyarat kepada
kebangkitan GHB di Kelantan, Wan Abdul Rahim bagaimanapun tidak mahu
dilihat sebagai punca perpecahan dalam PAS.
"Ini keputusan peribadi saya. Malah ketika mesyuarat pada 15 Julai lalu
juga saya tidak beri keizinan kepada AJK PAS Kawasan Kota Bharu untuk
ikut saya menyertai GHB.
"Biarlah saya mencari pengaruh di kalangan akar umbi, bukan di kalangan orang yang berjawatan dalam PAS," katanya lagi.
Pada pemilihan pucuk pimpinan PAS yang lalu, PAS Kawasan Kota Bharu
adalah di antara kawasan yang tidak mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang untuk jawatan presiden parti itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment