Wednesday, February 17, 2016
Anggota Parlimen Belia Minta Kerajaan Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik
KUALA LUMPUR : Anggota Parlimen Belia hari ini
meminta kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh
negara untuk memastikan golongan muda mampu memiliki rumah sendiri.
Wakil Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata cadangan itu
berikutan kebimbangan golongan belia di negara ini, akan menerima nasib
sama seperti dialami penduduk Kampung Mutiara, Pulau Pinang yang dipaksa keluar dari tanah dan kediaman masing-masing.
“Keputusan Pulau Pinang untuk tidak membina rumah mampu milik
menyukarkan lagi golongan belia memiliki rumah sendiri di negeri itu.
“Kita harus melihat Pulau Pinang sebagai contoh. Jika kita masih
tidak membina lebih banyak rumah mampu milik sekarang, saya bimbang
golongan belia pada masa akan datang tidak berpeluang memiliki rumah
sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan usul oleh wakil
Perak, Ahmad Fadzil Ahmad Shuhaili (Jawatankuasa Sosio Ekonomi) mengenai
Mekanisme Perumahan Mampu Milik pada sidang Parlimen Belia di sini,
hari ini.
Polemik Kampung Mutiara di Batu Ferringhi berakhir semalam, apabila
Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan 350 penduduk kampung itu untuk
mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2012, yang
memerintahkan mereka mengosongkan dua lot tanah seluas 1.4 hektar di
kampung itu.
Kemampuan belia memiliki rumah mampu milik adalah antara tajuk
perbahasan Parlimen Belia Malaysia yang bersidang di Dewan Rakyat di
sini, selama dua hari mulai hari ini.
Tiga lagi usul yang akan dibahaskan ialah mengenai langkah
menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, tahap perkhidmatan
taska/tadika dan cara meningkatkan keupayaan sara hidup mahasiswa.
Persidangan yang bermula 10 pagi itu, dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.
Terdapat sembilan jawatankuasa dalam sistem Parlimen Belia
iaitu Sosioekonomi; Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik; Keselamatan,
Undang-undang dan Integriti; Pendidikan dan Kerjaya; Kerohanian dan
Keagamaan; Kebudayaan, Sukan, Patriotisme dan Integrasi; Prasarana
(Infrastruktur), Pembangunan dan Alam Sekitar; Komuniti Pembangunan dan
Kesihatan; serta Teknologi dan Inovasi.
Rumusan perbahasan selama dua hari sidang Parlimen itu, akan dibawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan.
Dalam pada itu, wakil Terengganu Alif Rosli ketika membahaskan usul
sama mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.
“Kerajaan boleh berkolaborasi dengan GLC…antaranya Felda dan
Kumpulan Gamuda Bhd termasuk menghapuskan premium tanah jika ada GLC
yang mahu menukar status tanah milik mereka kepada tanah perumahan.
“Penghapusan premium itu boleh mengurangkan harga kos pembinaan rumah dalam membina rumah mampu milik,” katanya.
Wakil Selangor, Mohd Azfar Ariff Mohd Farid berkata kerajaan
perlu mengurangkan birokrasi dalam proses permohonan pinjaman bank bagi
memudahkan golongan belia di negara ini memiliki rumah.
Pihak bank perlu mewujudkan skim pinjaman khas kepada golongan belia
untuk membeli rumah, malah kerajaan perlu lebih telus mempromosi skim
rumah dan kurangkan birokrasi seperti mengenakan pelbagai syarat untuk
permohonan pinjaman rumah, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment