Wednesday, February 17, 2016
"Azmin, Berhentilah Main Politik Dendam", Kata Chegubard
SHAH ALAM : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin menempelak jawapan balas Setiausaha Politik Menteri Besar
Selangor, Shuhaimi Shafiei berkenaan isu lantikan ahli majlis Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT).
Memberi amaran kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar menghentikan
strategi politik kotornya, Badrul yang dikenali sebagai Chegubard turut
menggesa menteri besar itu tidak mengamalkan kronisme dalam isu
pemilihan tersebut.
"Beliau (Shuhaimi) kata isu ini sengaja diperbesarkan. Persoalannya,
yang bercakap isu ini adalah mereka yang menjadi penggerak parti iaitu
pimpinan cabang di Selangor. Mereka menuntut hak mereka dan mahu
perbaiki parti.
"Maka berhentilah main politik balas dendam dan mengarut yang
menghancurkan parti. Parti ada tatakelolanya, begitu juga kerajaan pun
ada tata kelolanya.
"Orang bercakap dan menegur kerana nak perbaiki parti dan perkasakan
kerajaan. Jangan ingat apabila ada yang mengkritik, maka persoalannya
menjadi musuh," katanya kepada media, hari ini.
Semalam, Chegubard bersama beberapa pimpinan cabang PKR di Selangor
mengadakan sidang media yang mendakwa Azmin tidak telus dan tidak
menghormati akar umbi parti dalam pemilihan ahli majlis PBT.
Azmin dipercayai bersikap 'pilih bulu' dengan menidakkan senarai calon yang dikemukakan oleh beberapa cabang parti itu.
Bagaimanapun dakwaan tersebut disifatkan oleh Shuhaimi sebagai tidak
berasas dan melihat ia sengaja diperbesarkan oleh sesetengah pihak.
Respon Shuhaimi tersebut kemudiannya dijawab oleh Setiausaha PKR Cabang
Kelana Jaya, S Murali yang juga hadir bersama Chegubard di sidang media
semalam yang mengatakan beliau bersedia mengemukakan bukti berkaitan
kegagalan Azmin dalam isu berkaitan pemilihan ahli majlis.
Chegubard percaya kecelaruan dalam beberapa perkara berkaitan
pentadbiran kerajaan negeri dan parti kini disebabkan sikap Azmin itu
sendiri.
"Azmin jadi punca parti jadi goyah dan bermasalah kerana beliau sendiri tidak hormat parti," tambahnya.
Azmin dipercayai bersikap sedemikian kerana berdendam dengan sekumpulan
pimpinan cabang PKR Selangor yang tidak menyokong beliau, ujar bekas
Ketua Pemuda PKR Rembau itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment