Wednesday, February 17, 2016

Ringgit Menambah Nilai 3.6 Peratus Pada Suku Keempat 2015 Walaupun Persekitaran Mencabar

http://paper-replika.com/images/stories/instructions/Others/malaysian_ringgit/pic-content.jpg
KUALA LUMPUR : Ringgit menambah nilai sebanyak 3.6 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2015 dan walaupun persekitaran ekonomi mencabar pada tempoh tersebut, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Ringgit turut menambah nilai berbanding euro (6.7 peratus), paun sterling (6.0 peratus), dan yen Jepun (4.0 peratus).

Bagaimanapun, unit tempatan menyusut nilai berbanding dolar Australia sebanyak 0.5 peratus. 

Ringgit juga menambah nilai berbanding semua mata wang serantau, antara 2.4 peratus dan 5.8 peratus, kecuali rupiah Indonesia yang turun sebanyak 2.4 peratus.

“Ringgit bersama-sama mata wang serantau yang lain tidak menghadapi turun naik yang ketara pada suku keempat meskipun terdapat ketidakpastian terhadap prospek pertumbuhan global dan harga tenaga global yang semakin menurun,” menurut bank pusat itu dalam kenyataan mengenai prestasi Malaysia pada suku tersebut.

Antara 1 Januari dan 16 Februari, 2016, BNM berkata ringgit menambah nilai sebanyak 3.5 peratus berbanding dolar AS. 

Ringgit juga menambah nilai berbanding paun sterling (6.3 peratus), dolar Australia (5.4 peratus) dan euro (1.4 peratus), tetapi menyusut nilai berbanding yen Jepun (-1.3 peratus). 

Ringgit menambah nilai berbanding kebanyakan mata wang serantau. 

Pada suku keempat 2015, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku ketiga 2015, menjadikan jumlah pertumbuhan tahun penuh kepada 5.0 peratus.

Bank Negara berkata sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan sepanjang suku tersebut meskipun persekitaran turun naik pasaran kewangan meningkat berikutan ketidakpastian mengenai pertumbuhan dan harga tenaga global.

Pengantaraan kewangan domestik terus disokong dengan baik oleh institusi kewangan yang teguh dan mempunyai permodalan yang kukuh.

“Mudah tunai sistem perbankan kekal lebih daripada mencukupi meskipun kadangkala terdapat keadaan pendanaan yang sukar. 

“Walaupun pelabur mengambil pendekatan berhati-hati dalam tempoh yang akan datang, sistem kewangan domestik dijangka terus stabil,” kata BNM.

Katanya kedalaman dan kemajuan pasaran kewangan domestik terus memberikan sokongan terhadap keadaan pasaran yang teratur dan keyakinan yang berterusan terhadap sistem kewangan negara. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment