Wednesday, February 17, 2016
Najib : Kerajaan Akan Putuskan Segera Pelan Pengganti Gabenor Bank Negara
SAN FRANCISCO : Kerajaan akan memutuskan dalam waktu terdekat
berhubung pelan pengganti Gabenor Bank Negara, kata Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bercakap kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja seminggu
beliau di Amerika Syarikat, di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia),
Najib berkata kerajaan yang perlu buat keputusan berhubung perkara itu.
Perdana Menteri diminta mengulas tentang pelan pengganti serta
laporan berita memetik Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
sebagai berkata yang beliau tidak mahu ahli politik mengambil alih
jawatan di Bank Negara.
Zeti, yang bakal bersara pada April, berkata di Kuala Lumpur bahawa
beliau tidak akan menyambung khidmat untuk satu lagi penggal.
Beliau berkata proses mencari pengganti sedang dibuat oleh
Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga Bank Negara Malaysia yang dianggotai
pengarah-pengarah bebas daripada sektor swasta.
Menjawab soalan lain, Najib berkata sebaik pulang ke tanah air beliau
akan berbincang dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berhubung cadangan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang telah
mencetuskan kebimbangan banyak pihak.
“Saya fikir kami perlu memastikan apa juga langkah yang kami ambil
perlu memenuhi keperluan ekonomi. Beberapa sektor ekonomi memerlukan
pekerja seperti industri perladangan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengambil perhatian bahawa kerajaan perlu
menangani kebimbangan berhubung masalah sosial yang mungkin timbul
daripada kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang banyak.
Ahmad Zahid berkata kerajaan bercadang membawa masuk 1.5 juta pekerja
Bangladesh bagi memenuhi keperluan industri, tetapi banyak pihak
menyatakan kebimbangan tentang impak daripada langkah itu.
Mengenai Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang
Undang-undang Majlis Keselamatan Negara perlu diperhalusi, Najib berkata
kerajaan mengambil maklum perkara tersebut.
Najib berkata rang undang-undang itu tidak menarik kuasa Yang di-Pertuan Agong sama sekali.
Beliau berkata ia bertujuan untuk menangani ancaman keselamatan.
“Sebagai contoh insiden Lahad Datu, kuasa tambahan (dalam menangani isu itu) diperlukan,” katanya.
Insiden Lahad Datu merujuk kepada kejayaan pasukan keselamatan
Malaysia menggagalkan cubaan kumpulan militan dari selatan Filipina
untuk menceroboh Sabah antara 11 Februari dan 24 Mac, 2013.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment