Wednesday, February 10, 2016
Barisan Exco Baharu Kedah Akan Diumumkan Minggu Depan
Barisan Exco baharu akan diumumkan minggu depan setelah mendapat perkenan Sultan Kedah dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah memberitahu, beliau
sudah memuktamadkan senarai Exco berkenaan untuk dipersembahkan kelak.
“Senarai sudah ada. Mungkin minggu depan diumumkan dan untuk majlis
angkat sumpah kerana ia memerlukan perkenan daripada Tuanku Sultan dan
Ahli Jemaah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk
Ahmad Lebai Sudin; ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Hussain; ADUN Pantai
Merdeka, Ali Yahaya dan ADUN Pedu, Kama Noriah Ibrahim disebut-sebut
sebagai antara nama mengisi senarai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri itu.
Ahmad Bashah dijangka menggandingkan wakil rakyat berkenaan yang cukup
berpengalaman bersama Exco yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran
Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dengan portfolio yang dipegang mereka
sebelum ini.
Ahmad, 58, yang pernah dilantik sebagai Exco sebelum ini dianggap sangat
berpengalaman dalam bidang politik dan pentadbiran negeri berpotensi
untuk memegang portfolio berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan.
Sementara Kama Noriah, 46, yang cukup dikenali sebagai wakil Wanita UMNO
yang bersuara lantang dijangka memegang portfolio berkaitan kebajikan
dan wanita.
Menurut sumber, Azmi dan Ali dilihat wakil rakyat yang cukup berpengalaman dan mampu menguatkan senarai Exco baharu itu.
Katanya, kedudukan Azmi sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diganti oleh salah seorang Exco terdahulu.
“Menteri Besar tidak berhasrat untuk merombak sepenuhnya barisan Exco
yang sedia ada. Namun rombakan berkenaan perlu dilakukan kerana Exco
sebelum ini yang dilihat begitu menyokong Menteri Besar Datuk Seri
Mukhriz Tun Mahathir kemungkinan besar akan menolak tawaran dilantik
semula.
“Menteri Besar baharu mempunyai pengalaman luas dan pernah dua kali
menjadi Exco jadi beliau mempunyai formula terbaik untuk melantik
barisan Exconya kelak,” kata sumber berkenaan.
Katanya, ADUN Guar Chempedak, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail; ADUN
Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain; ADUN Gurun, Datuk Dr. Leong
Yong Kong; ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid dan ADUN
Belantek, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah dijangka kekal dalam senarai
Exco baharu ini.
Barisan Nasional (BN) mempunyai 21 wakil rakyat termasuk dua daripadanya dalam ADUN MCA.
Kerajaan negeri diterajui Mukhriz sebelum ini hanya melantik sembilan
Exco berbanding lazimnya 10 Exco untuk memegang pelbagai portfolio namun
kemungkinan besar tradisi itu kembali dalam senarai Exco terbaharu ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment