Wednesday, February 17, 2016
Bila Isteri Diraba, Tapi PM Yang Di Maki Hamun?
EDITOR MENULIS...
17 FEBRUARI 2016
Manusia diberikan akal dan otak untuk berfikir. Haiwan pula walau
diberikan otak, ia tidak berakal. Bezanya manusia dengan haiwan ialah
akal. Kerana itulah haiwan senang seperti lembu senang dicucuk hidung
dan hanya mengikut kehendak tuannya yang memberinya makan rumput setiap
hari.
Malangnya di akhir zaman ini, manusia dikatakan semakin hilang akal.
Akal yang menghasilkan budaya dan ketamadunan seakan-akan gagal
digunakan dengan sempurna. Budaya murni bertukar menjadi budaya mental
‘tak cukup akal’. Hasilnya, terbitlah kedangkalan manusia itu.
Baru-baru ini, seorang busker mengamuk di media sosial mendakwa
isterinya dicabul bangla. Akallnya memilih untuk bertindak sendiri,
membelasah bangla berkenaan hingga tertiarap. Dimuat naik pula gambar
mangsa yang dikatakan bersalah pada isterinya itu.
Paling menjengkelkan, tiba-tiba saja busker itu mengaitkan kejadian
itu dengan nama Menteri dan Perdana Menteri. Menteri dan Perdana Menteri
dipersalahkan dalam insiden tersebut. Dia menggunakan rasional isu bawa
masuk pekerja asing Bangladesh seramai 1.5 juta yang hangat
diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Soalnya, waraskah akal yang mengunakan rasional tersebut untuk
menghalalkan reaksi busker tersebut yang membelasah bangla yang meraba
isterinya dan menyalahkan Menteri serta Perdana Menteri atas kejadian
tersebut?
Jika dirujuk pada perbuatan meraba, perbuatan itu dilakukan oleh
bangla berkenaan, bukan Menteri atau Perdana Menteri yang meraba
isterinya. Wajarkah akal menyalahkan mereka yang tidak membuat perbuatan
meraba itu?
Perbuatan mengimport masuk bangla itu ke Malaysia adalah perbuatan
majikan bangla berkenaan. Kita yakin, Menteri dan Perdana Menteri
yang dihamun busker itu bukan majikan bangla tersebut. Tapi yang dimaki
ialah Menteri dan Perdana Menteri. Majikan yang membawa masuk bangla
yang tidak bermoral itu tidak ‘disentuh’. Waraskah akal itu?
Mungkin kerana akal busker itu menyimpul dan mengatakan kononnya
mengimport masuk bangla berdasarkan polisi kerajaan yang dibuat oleh
kementerian yang diketuai oleh Menteri dan kerajaan yang diketuai oleh
Perdana Menteri.
Itu kaitannya untuk menghalalkan busker itu memaki hamun dan
menyalahkan Menteri dan Perdana Menteri? Maksudnya, kerana polisi yang
dibuat kerajaan, maka setiap dosa jenayah atau kesalahan itu harus
diletakkan di bahu pemerintah?
Sekiranya itulah logik akalnya, maka sudah tentulah Rasulullah SAW
akan dipersalahkan juga jika berlaku jenayah dan insiden sumbang di
zaman pemerintahan baginda di Madinah dulu. Di zaman Rasulullah, berlaku
dosa zina dan sebagainya walaupun ajaran Islam yang baginda sampaikan
menegah keras perbuatan tersebut.
Soalnya, apakah wajar dan tergamak akal kita untuk menuding jari pada
Rasulullah atas dosa umat Islam yang berlaku di zaman baginda?
Ketika zaman itu, ekoran Madinah menjadi tumpuan pedagang dan umat
seluruh dunia, pelbagai kaum wujud dan tinggal di kota Islam berkenaan.
Ada yang datang dari Habsyi, Mesir, Iraq dan sebagainya. Polisi Madinah
ketika itu adalah terbuka sempadan politiknya dan sesiapa saja diterima
masuk dan dibenarkan bermastautin di situ.
Namun, sekiranya berlaku apa-apa kejadian jenayah oleh mana-mana
pendatang luar yang menetap dan bekerja di kota itu, apakah kesalahan
itu mewajarkan Rasulullah SAW dan para sahabat yang membantu baginda
dimaki hamun.
Pada pandangan saya sendiri, adalah tidak wajar untuk menyalahkan sesiapa
atas kesalahan yang tidak mereka lakukan. Lainlah jika Menteri dan
Perdana Menteri yang meraba isteri busker itu, maka mereka boleh
dipersalahkan.
Di negara kita, ada undang-undang yang perlu didaulatkan. Kita pula
selaku umat Islam, ada akhlak dan hukum hakam yang perlu dipatuhi seumur
hidup. Jika tidak mahu ikut undang-undang negara, tidak mahu taat pada
hukum-hakam Islam, apakah yang layak bagi kita? Layak untuk menjadi
seorang warganegara dan seorang yang mengaku Islam?
Namun itulah realitinya. Budaya dan mentaliti yang tidak wajarlah
kini menjadi amalan sesetengah rakyat Malaysia terutama di ruang maya
sosial. Kononnya ‘viral’, tapi tidak sedar ia mendedahkan keaiban diri
sendiri dan isteri di khalayak ramai. Itukah yang kita bangga-banggakan?
Kita boleh melihat, ramai yang anak dan isterinya menjadi mangsa rogol
dan jenayah, namun mereka tidak menyalahkan Menteri atau Perdana
Menteri. Ada yang dicabul oleh warga tempatan, tidak pula dimaki hamun
Menteri atau Perdana Menteri.
Jadi, fikir-fikirkanlah diri kita masing-masing. Budaya apakah yang
kita ikut? Apakah akal dan otak kita mengikut kewarasan wajar dan ajaran
Islam? Apakah kita patuh pada undang-undang dan hukum Islam? Dan kita
asyik hendak menyalahkan pihak lain? Akal letak di mana? Di kepala
lutut?
Fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment