Wednesday, February 17, 2016
Lepas Tabung Haji, KWSP Pula Jadi Sasaran?
EDITOR MENULIS...
17 FEBRUARI 2016
Masih lagi mengenai ruang media sosial yang menjadi lapangan untuk
mencetus persepsi negatif yang berteraskan kejahilan yang tidak bertepi.
Konon niat memperjuang hak rakyat, namun sebenarnya tidak lebih dari
helah menipu dan memutar belit minda masyarakat Malaysia.
Selepas Tabung Haji menjadi mangsa pihak tertentu sebelum ini
mengenai pengumuan kadar dividen dan bonus tahunan, kini KWSP pula
menjadi target serangan. Kecoh mereka mendakwa kononnya dividen KWSP
2015 sengaja diumumkan lewat kali ini.
Pihak berkenaan mendakwa dividen KWSP ‘kebiasaannya’ diumumkan
sejurus selesai bulan Disember. Malah ada yang ‘terlebih bijak’ mendakwa
ia selalunya diumum pada bulan Disember di akhir tahun. Misalnya,
dividen KWSP 2015 akan diumum pada Disember atau sejurus selepas 31
Disember 2015.
Lebih meloyakan lagi, pihak ‘pejuang rakyat’ itu giat mengatakan
kemungkinan kononnya ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan pengumuman
dividen KWSP itu dan pihak kerajaan ‘cuba menyembunyikan sesuatu’.
Sekiranya dilihat pada gaya dakwaan sebegitu, sudah tentu ramai yang
gelisah dan mungkin ada yang terpengaruh tanpa berfikir panjang
mengandaikan perkara negatif terhadap KWSP dan pihak kerajaan.
Namun bagi mereka yang arif dan tahu, melihat pada gaya dan modus
operandi serangan persepsi itu sudah tentu kenal dengan ‘skrip’ yang
cuba dimainkan. Malah mungkin ada yang dapat meneka ia adalah ‘permainan
minda’ siapa yang cuba memperbodohkan rakyat dengan persepsi jahat.
Pada pengamatan saya, jika rajin sedikit mencari kebenaran,
pastinya kita tidak akan mudah tertipu dengan ‘permainan’ itu. Jika
dicari di dalam internet sekalipun, sudah tentu kita akan dapat melihat
trend sebenar masa dividen KWSP diumumkan pada sekitar Februari atau
Mac.
Misalnya, KWSP pada tahun lalu mengumumkan dividen pada 7 Februari 2015.
Hendak tahu kenapa ia mengambil masa hampir 3 bulan untuk diumum?
Logik akal pun dapat menjangka alasannya. Selalunya akaun-akaun besar
seperti Tabung Haji, KWSP dan sebagainya memerlukan masa untuk diteliti.
Banyak yang perlu diperhalusi.
KWSP bukanlah sebuah kumpulan yang hanya memiliki 10 atau 20 akaun
sahaja. Ia melibatkan jutaan akaun rakyat Malaysia dan bukan rakyat
Malaysia yang mencarum. Saya yakin, jabatan akaun KWSP sendiri
mungkin ‘pening’ setiap kali menjelang akhir tahun.
Selaku akaun melibatkan awam, sedikit kesilapan akan mengundang
padah. Jika tidak dimaki hamun di kaunter, sudah tentu akan ‘viral’ di
caci maki di media sosial. Maka itu mereka perlu bersengkang mata
meneliti akaun-akaun yang ada.
Bila tiba di meja Jabatan Audit Negara, sudah tentu ia juga akan
mengambil masa untuk diperiksa. Selaku badan bebas yang memeriksa akaun,
jabatan itu perlu menjaga nama baik dan akauntabiliti mereka berhubung
setiap akaun awam. Selepas selesai diperiksa, diperiksa sekali lagi
sebelum disahkan. Itu belum lagi masuk bab Bank Negara pula…
Berdasarkan logik tersebut, apakah dapat diterima akal jika semua
akaun KWSP selesai diteliti dalam tempoh sehari? Amalan perakaunan
tahunan biasanya ditutup pada tarikh akhir setiap tahun, berakhir 31
Disember. Apakah logik dividen diumum pada 1 Januari keesokan harinya?
Jadi, tidak perlulah menunjukkan kejahilan dengan dakwaan yang begitu
mudah dimatikan dengan logik akal sahaja. Lagi pun, tindakan berburuk
sangka, mencetus buruk sangka awam dan menyebarkan buruk sangka itu
adalah satu nilai negatif yang tidak dianjurkan agama.
Namun saya yakin, KWSP bukanlah ‘mangsa’ terakhir. Akan ada lagi
‘mangsa-mangsa’ lain yang akan menjadi sasaran pihak-pihak itu. Yang
menjadi ‘mangsa sebenar’ ialah rakyat Malaysia yang selalunya suka baca
tajuk dan cepat melatah tanpa usul periksa, kan? Jadi, berhati-hatilah
supaya tidak menjadi ‘mangsa’…
Fikir-fikirkanlah bersama...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment