Wednesday, February 17, 2016
Bukan Saja Kerajaan, Keluarga Pun Kalau Kita Bocorkan Rahsia Kepada Luar, Akan Hancur Juga
PUTRAJAYA : Kerahsiaan negara bukan untuk menghalalkan mana-mana
pihak menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah, kata Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman
Dahlan.
Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan bersama warga kementerian
serta menghadiri sambutan Tahun Baru Cina kementeriannya di sini hari
ini, beliau berkata kerahsiaan dalam sesebuah institusi adalah penting
dalam melaksanakan sesuatu tugas.
“Ini isu yang kompleks kerana dalam sesetengah hal kerajaan tidak boleh
membocorkan maklumat atas sebab tertentu, namun sebaliknya kita telah
dituduh menyembunyikan rahsia.
“Tidak ada organisasi yang boleh berjaya tanpa ada rahsia, jangan cakap
negara atau kerajaan malah institusi keluarga sekalipun jika kita kita
terlalu terbuka kepada pihak luar, institusi itu akan hancur,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional
(BN) turut memberikan contoh negara maju seperti Singapura, United
Kingdom dan Switzerland yang berjaya pada hari ini kerana mereka
menghormati kerahsiaan data dan maklumat.
Beliau berkata terdapat juga pelbagai saluran untuk membuat aduan jika
terdapat salah laku termasuklah unit integriti setiap kementerian, Biro
Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud turut meminta SPRM
untuk mempraktikkan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia 2009 bagi melindungi integriti pihak yang dituduh.
Beliau berkata klausa undang-undang itu memperuntukkan bahawa aduan yang
dilaporkan kepada badan terbabit tidak seharusnya diuar-uarkan kepada
pihak media terlebih dahulu.
“Berdasarkan peruntukan itu juga, aduan tidak boleh dikongsi kepada
orang lain dan hanya apabila pendakwaan dilakukan baharulah identiti
yang dituduh itu dapat disiarkan pihak media,” katanya, sambil menambah
peruntukan itu dapat mengelak mereka yang dituduh daripada teraniaya.
“Ini kerana sekarang tohmahan, tuduhan dan fitnah yang melulu telah
berlaku secara berleluasa dan melalui (peruntukan) ini juga kita mahu
elakkan perkara sebegitu terjadi bagi menjamin keadilan kepada semua
pihak,” katanya.
Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan dan
hanya boleh didedah apabila kes dibawa ke mahkamah.
Ditanya mengenai kelaziman sesetengah pihak menjemput media bagi member
liputan kepada mereka yang mahu membuat aduan kepada SPRM berkaitan
kes-kes tertentu, Abdul Rahman berkata pendedahan nama tertuduh dan
kesalahan mereka akan memudaratkan orang yang dituduh sebelum diadili.
Malah, katanya, jika pihak yang dituduh itu benar-benar bersalah,
pendedahan kepada media memberi masa kepada pihak yang berkaitan dengan
kesalahan berkenaan melupuskan bukti jenayah mereka.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menghadiri majlis penyampaian surat
setuju terima bagi perolehan dua unit helikopter AgustaWestland AW189
untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bernilai RM201 juta
yang dijangka disempurnakan dalam tempoh tiga tahun.
Kedua-dua helikopter buatan Itali itu dirancang untuk ditempatkan di
Kota Kinabalu, Sabah apabila Pangkalan Udara, Jabatan Bomba dan
Penyelamat, Kota Kinabalu siap pada 2018.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment