Tuesday, February 09, 2016
Cadangan Kaji Semula Hukuman OSA Bukti Kebocoran Maklumat Serius - Salleh
KOTA BELUD : Cadangan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk
mengkaji semula hukuman Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 adalah bukti
kebocoran maklumat rahsia kerajaan semakin serius, kata Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berpendapat cadangan untuk meminda akta itu bagi tujuan
mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang membocorkan rahsia
negara atau kerajaan jelas membuktikan kerajaan serius untuk menangani
permasalahan itu.
"Kita bertanggungjawab menentukan amanah diberikan kepada kita itu harus
disimpan baik-baik kerana perbuatan (membocorkan maklumat rahsia
kerajaan) itu boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya kepada
pemberita sebagai mengulas cadangan peguam negara berhubung perkara itu
baru-baru ini.
Sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan dan memetik Mohamed Apandi
sebagai berkata beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi
meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia
kerajaandan negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.
Peguam Negara berkata beliau melihat kepada kemungkinan mengenakan
hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah.
Mohamed Apandi juga dilaporkan sebagai berkata wartawan yang didapati
melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka perolehi
juga boleh dikenakan tindakan itu.
Salleh, yang turut bersetuju dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar mana-mana pihak tidak
mempolitikkan keputusan peguam negara itu, berkata kerajaan sudah tentu
mengalu-alukan dan akan mendengar pendapat pelbagai pihak sebelum
keputusan rasmi dikeluarkan.
"Sudah tentu sebarang cadangan dan pandangan daripada rakyat akan
diteliti sebelum sesuatu tindakan diambil, apa yang penting kita tidak
harus mempolitikkan isu ini sepertimana ditegaskan timbalan perdana
menteri," katanya.
Mengulas pengamal media akan dikenakan tindakan jika melindungi atau
enggan mendedahkan sumber maklumat diperolehi, Salleh berkata setiap
wartawan di negara ini mesti mempunyai sikap bertanggungjawab dalam
melaporkan berita dan mereka tidak seharusnya beranggapan tidak boleh
mendedahkan sumber maklumat atas alasan menjaga etika kewartawanan.
"Kadang-kadang (berita) ini bocor daripada maklumat kerajaan dan ia
(kebocoran maklumat) adalah satu kesalahan. Jika wartawan melaporkan
hal-hal yang salah di sisi undang-undang, maka (secara tidak langsung)
wartawan terlibat dengan kesalahan itu," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment